Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa bersama pelatih Institut Latihan Kementerian Kesihatan (ILKK) ketika pelepasan Mobilisasi Jururawat Pelatih sempena Madani Afiat dan Gotong Royong Mega Perangi Aedes 1.0 One Hour Malaysia Clean Up Dewan Rakyat Batu Caves, Gombak pada 9 Julai 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

HARAPAN-BN yakin menang utara Selangor walau saingan sengit

GOMBAK, 9 JULAI: Gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN) yakin menakluk utara Selangor pada pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi walau berdepan saingan sengit.

Pengerusi HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata beliau yakin keupayaan gabungan perpaduan mampu menawan kawasan itu.

“Secara asasnya sebenarnya utara Selangor ini tidak menjadi kawasan tradisi mana-mana pihak.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika hadir Majlis Pelancaran Madani Afiat dan Gotong Royong Mega Perangi Aedes 1.0 One Hour Malaysia Clean Up Dewan Rakyat Batu Caves, Gombak pada 9 Julai 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Namun secara tradisinya sebelum ini kawasan itu adalah kawasan yang dimenangi oleh BN dan kemudian pada 2018 kita (HARAPAN) telah menembusi kawasan sana.

“Kita yakin dengan program kita dan juga suntikan daripada rakan kongsi kita yang baharu iaitu BN akan berjaya menawan kembali kerusi di sana di bawah gabungan atau semangat Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Madani Afiat di Batu Caves, hari ini.

Amirudin berkata tumpuan Perikatan Nasional (PN) hanya di utara Selangor mencerminkan ketidakyakinan pembangkang untuk menawan negeri ini.

Tambahnya ia sekali gus memberi isyarat mereka hanya tertumpu untuk menjadi pembangkang yang kuat di kawasan itu.

“Ini menunjukkan ketidakyakinan PN untuk menawan Selangor sebab mereka hanya menumpu di utara Selangor.

“Nampaknya kalau macam itu, maknanya mereka hanya menumpu di sana untuk menjadi pembangkang yang kuat,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sidang media selepas melancarkan Madani Afiat dan Gotong Royong Mega Perangi Aedes 1.0 One Hour Malaysia Clean Up Dewan Rakyat Batu Caves, Gombak pada 9 Julai 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Beliau bagaimanapun tidak memandang rendah mana-mana pihak dan memberi jaminan semua pihak akan bekerja keras memastikan kemenangan milik gabungan perpaduan.

Sebelum ini, bekas Pengerusi UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar dilaporkan berkata tiga parlimen di utara Selangor iaitu Sabak Bernam, Sungai Besar dan Tanjong Karang yang sebelum ini menjadi kubu kuat UMNO mampu ditawan PN atas semangat dan perpaduan pengundi Melayu.


Pengarang :