Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) ketika menghadiri Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya HARAPAN Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 24 Jun 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

HARAPAN tampil calon bekerja untuk rakyat, yakin pertahan kerajaan sedia ada

SHAH ALAM, 28 JULAI: Pakatan Harapan (HARAPAN) yakin calon ditampilkan dalam pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini mampu bekerja untuk rakyat dalam apa jua keadaan.

Pengerusi HARAPAN negeri berkata konsensus melibatkan parti utama iaitu Parti KEADILAN Rakyat, DAP dan Parti AMANAH Negara juga yakin calon dipilih mampu mempertahankan kerajaan sedia ada.

“Kita ada alihkan calon tetapi ada asasnya. Nampak itu juga strategi mereka (Perikatan Nasional). Ada lompatan dari sana sini.

“Bagaimanapun kita tawarkan calon yang bekerja dan mampu membantu rakyat dalam apa keadaan pun,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada majlis prapelancaran Yayasan Anak Istimewa Anis di sini semalam.

Sabtu lalu, KEADILAN mengumumkan nama 20 calon yang bertanding pada PRN kali ini termasuk penyandang Bukit Melawati yang bertukar ke kawasan Hulu Kelang.

AMANAH dan DAP turut mengumumkan senarai calon selepas itu, masing-masing melibatkan sembilan dan 15 kerusi manakala Barisan Nasional di 12 kerusi.

Hari penamaan calon pilihan raya negeri Selangor, dan lima negeri lain, ditetapkan pada 29 Julai ini. Hari mengundi pula pada 12 Ogos.


Pengarang :