Timbalan Datuk Bandar Subang Jaya Mohd Zulkurnain Che Ali (helmet biru) bersama warga Subang Jaya menyertai acara berbasikal dalam program Hari Tanpa Kenderaan Majlis Bandaraya Subang Jaya di Jalan SS16/1 pada 9 Julai 2023. Foto Ihsan MBSJ
PBTSELANGOR

Hari Tanpa Kenderaan MBSJ meriah, lebih 800 pengunjung hadir

Oleh SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM, 9 JULAI: Program Hari Tanpa Kenderaan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di Jalan SS16/1 berhadapan pasar raya Aeon Big Subang Jaya dan Subang Parade di sini hari ini dihadiri lebih 800 pengunjung.

Bahagian Komunikasi Korporat MBSJ berkata antara aktiviti utama adalah acara berbasikal Endurance Challenge V2.0 dan kejohanan Run Bike Subang Jaya (Push Bike) bagi kanak-kanak berusia dua hingga 9 tahun.

Peserta cilik menyertai kejohanan Run Bike Subang Jaya dalam program Hari Tanpa Kenderaan Majlis Bandaraya Subang Jaya di Jalan SS16/1 pada 9 Julai 2023. Foto Ihsan MBSJ

“Pelbagai aktiviti sukan dan riadah disediakan seperti kayuhan, larian dan jalan santai, senamrobik, pertandingan street soccer, pertandingan Basket Ball 1v1, aktiviti memanah dan sukan lasak ‘Abseiling, Rappelling dan Flying Fox’.

“Selain itu, kita juga adakan pertandingan karaoke, pesta sarapan pagi, pemeriksaan kesihatan percuma, program kitar semula serta cabutan bertuah istimewa untuk pengunjung,” kata MBSJ menerusi kenyataan.

Edisi pertama selepas dijenamakan semula dari program Selamat Pagi Subang Jaya itu turut menampilkan demonstrasi pertolongan cemas Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan demonstrasi silat daripada Pertubuhan Seni Silat Gerak Harimau Laksamana.

Pertunjukan silat daripada Pertubuhan Seni Silat Gerak Harimau Laksamana dalam program Hari Tanpa Kenderaan Majlis Bandaraya Subang Jaya di Jalan SS16/1 pada 9 Julai 2023. Foto Ihsan MBSJ

Turut diadakan pameran keselamatan Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya serta pameran cari dan musnah aedes oleh Jabatan Kesihatan MBSJ.

Menurut MBSJ program itu diharap menjadi platform bagi warga Subang Jaya menjalani gaya hidup sihat sekali gus menyokong agenda menuju ke arah bandar raya rendah karbon.


Pengarang :