EXCO Industri Asas Tani Ir Izham Hashim berucap pada majlis graduasi dan penyampaian sijil kepada peserta Sekolah Ladang Petani di Kelab Shah Alam, Seksyen 13, Shah Alam pada 27 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Hasilkan tanaman lebih baik, 9,000 pesawah terima bantuan RM8.9 juta

SHAH ALAM, 27 JULAI: Kerajaan Negeri membelanja RM8.9 juta kepada lebih 9,000 pesawah sepanjang tahun ini.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata peruntukan itu bagi memastikan hasil tanaman lebih baik sekali gus menambah pendapatan.

“Kita beri bantuan RM300 untuk setiap hektar kepada petani dibayar secara tunai supaya mereka dapat tingkatkan hasil padi dan bantuan dalam bentuk benih bernilai RM200.

“Ini bukti bahawa Kerajaan Selangor tidak pernah mengabaikan sesiapa termasuk golongan petani dan pesawah kerana kita mahu ekonomi negeri ini dinikmati semua penduduk,” katanya.

Exco Industri Asas Tani Ir Izham Hashim menyampaikan sijil kepada peserta sempena majlis graduasi Sekolah Ladang Petani di Kelab Shah Alam, Seksyen 13, Shah Alam pada 27 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau ditemui pada majlis graduasi dan penyampaian sijil kepada 18 peserta yang menamatkan program di Sekolah Ladang Petani (FFS), Kelab Shah Alam di sini hari ini.

Izham turut menggesa pesawah khususnya anak muda yang mengikuti program tersebut mempraktik segala kaedah yang diajar supaya dapat meningkatkan hasil tanaman.

“Semua sektor memerlukan ilmu pengetahuan termasuk pertanian. Pendedahan diberikan dalam program ini tentang kaedah penanaman padi yang betul membantu mendisiplinkan diri supaya mereka mampu menjadi petani berketerampilan.

“Ambil manfaat daripada kemajuan teknologi yang dikongsi dalam program ini supaya dapat tingkat prestasi dan hasil tanaman serta menambah pendapatan,” katanya.


Pengarang :