Wanita yang kenali sebagai Logeswari (dua, kanan) ketika proses dokumentasi memeluk Islam pada 1 Julai 2023. Foto Facebook LZS
AGENSISELANGOR

Ibu tunggal peluk Islam selepas tersentuh hati layanan LZS

SHAH ALAM, 11 JULAI: Keluhuran hati warga Lembaga Zakat Selangor (LZS) menghulur bantuan tanpa melihat perbezaan agama membuka hati ibu tunggal memeluk Islam baru-baru ini.

Wanita yang dikenali sebagai Logeswari terharu apabila menerima layanan baik daripada LZS ketika berurusan bagi pihak abangnya yang juga seorang mualaf.

“Baru-baru ini, beliau telah ke kaunter LZS di Klang untuk menguruskan bantuan perubatan abangnya yang sakit di Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR).

“Logeswari terharu dengan cara layanan pegawai zakat yang menyantuninya ketika beliau bercerita mengenai abangnya yang sedang sakit di HTAR.

“Sentuhan tangan yang diberikan menyentuh perasaan beliau, dan beliau merasakan orang Islam itu sangat baik kerana pegawai kaunter mendoakan kesembuhan abangnya,” menurut LZS di Facebook.

LZS membantu menceritakan mengenai Islam dan Logeswari seterusnya dirujuk kepada Bahagian Pendaftaran Pengislaman Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Beliau memeluk Islam dengan bimbingan Ahli Majlis Mais Dato’ Dr Muhammad Farid Ravi Abdullah pada 1 Julai lalu.

“Logeswari kini merupakan saudara baru kita. Moga beliau dan anak-anaknya dimudahkan untuk menerima bimbingan yang berterusan daripada asatizah,” katanya.


Pengarang :