EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni (tengah) melakukan gimik pelancaran Operator HIS Diperakui (AHO) di Glenmarie Golf & Country Resort, Shah Alam pada 13 Jun 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Industri halal negeri pesat berkembang menerusi program ekonomi bawah RS-1

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

SHAH ALAM, 6 JULAI: Industri halal di Selangor semakin pesat berkembang menerusi beberapa program ekonomi bawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata terdapat 10 inisiatif yang digerakkan bagi membantu industri halal termasuklah Operator Halal Diperakui (AHO) sebagai platform rangkaian.

EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni bercakap kepada media ketika majlis Jamuan Aidiladha KoHijrah Selangor di Laman Niaga Usahawan KoHijrah, Seksyen 15, Shah Alam pada 6 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“AHO iaitu program data antara pembekal ramuan kepada pemborong dan juga pengguna industri dan akhirnya ke pasaran. Jadi ini akan ada satu platform rangkaian berkaitan industri halal.

“Insya-Allah ekosistem itu kita akan bentuk dan telah dilancarkan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Jamuan Aidiladha KoHijrah Selangor di Laman Niaga Usahawan KoHijrah Seksyen 15 di sini, hari ini.

Selain AHO, inisiatif lain yang dijalankan termasuklah mewujudkan Platform Maklumat Pusat (CIP), Promosi Halal Selangor, Pembiayaan Halal Selangor, Zon Ekonomi Halal Selangor dan Program Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Selangor.

Turut digerakkan Pembangunan Kapasiti Halal Selangor, Koperasi Halal Selangor, Hab Perniagaan Halal Selangor dan Pangkalan Data Bahan Mentah Halal.

Bercakap mengenai pengiktirafan Anugerah Prestasi Cemerlang Negeri Halal yang diterima Kerajaan Negeri semalam, beliau berkata ia sebagai satu pencapaian yang baik dalam memartabatkan pertumbuhan ekonomi yang pesat menerusi industri halal.

EXCO Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni (dua, kanan) ketika menerima plak Anugerah Kecemerlangan Prestasi Negeri Halal pada majlis Anugerah Kecemerlangan Halal Dunia 2022 (WHEA 2022) pada 5 Julai 2023. Foto Facebook Halal Development Corporation Berhad

RS-1 yang dibentang pada Julai tahun lalu melibatkan nilai keseluruhan sebanyak RM212.44 bilion mengambil kira aspek pelaksanaan dasar, projek dan inisiatif menyeluruh antara Kerajaan Negeri dan persekutuan.

Pelaksanaannya menjadi kerangka pembangunan negeri untuk tempoh lima tahun ke depan mengandungi pelbagai agenda demi kesejahteraan dan pengukuhan ekonomi rakyat Selangor.


Pengarang :