Timbalan Presiden KEADILAN Rafizi Ramli berucap ketika Jelajah Madani HARAPAN di Taman Medan, Petaling Jaya pada 5 Julai 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Inflasi turun bawah Kerajaan Perpaduan, zaman PN harga barang naik mendadak

PETALING JAYA, 6 JULAI: Kadar inflasi Malaysia menurun dalam tempoh tujuh bulan berturut-turut sejak pentadbiran negara diambil alih Kerajaan Perpaduan, hujung tahun lalu.

Berbanding semasa pemerintahan Perikatan Nasional (PN), Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mendedahkan inflasi meningkat sekali ganda setiap bulan dari April hingga Julai tahun lepas.

“Pada April tahun lepas, inflasi -2 kemudian 0 peratus (Mei) dan naik lagi ke dua peratus (Jun) serta memuncak 4.7 peratus pada Julai. Maksudnya peningkatan sekali ganda dari bulan ke bulan.

“Bila kita ambil alih dari Disember, (inflasi) lebih kurang empat peratus. Untuk tujuh bulan berturut-turut sehingga sekarang, ia turun ke paras paling rendah iaitu 2.8 peratus,” katanya.

Berucap pada Jelajah Madani di sini malam tadi, timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menafikan harga barang naik mendadak selepas Kerajaan Perpaduan mentadbir negara.

Sebaliknya, Rafizi menjelaskan kerajaan ketika ini berusaha menstabilkan semula harga barang susulan kegagalan kerajaan PN menangani isu itu sepanjang 33 bulan memerintah.

“Bilakah sebenarnya harga barang paling tinggi naik mencanak? Zaman mereka (PN) bukan zaman kita. Sebab itu bila tugas kerajaan untuk menggubal dasar ekonomi supaya ia tidak naik mencanak.

“Kita tahu kalau harga barang naik terutama makanan, ia akan susah nak turun balik,” katanya.


Pengarang :