Pusat kawalan Kumpulan Semesta Sdn Bhd di Menara Bank Rakyat, Shah Alam pada 21 Julai 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Infrasel selesai lebih 80 peratus isu jalan raya dalam tempoh singkat

SHAH ALAM, 21 JULAI: Lebih 80 peratus masalah jalan raya di Selangor berjaya diselesaikan pentadbiran negeri menerusi Infrasel Sdn Bhd (Infrasel), maklum Dato’ Menteri Besar.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, syarikat penyelenggara itu dianggarkan menerima antara 600 hingga 700 laporan jalan rosak setiap bulan, sejak ditubuhkan dua tahun lalu.

“Secara purata, kita terima antara 600 hingga 700 aduan jalan rosak setiap bulan, yang dibuat masyarakat menerusi media sosial, laporan biasa dan sebagainya.

“Lebih 80 peratus sudah kita tangani dan sangat baik. Ada yang kita tampal dan ada yang kita serah kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk diperbaiki,” katanya kepada Selangorkini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau pusat kawalan Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. di Menara Bank Rakyat, Shah Alam pada 21 Julai 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Terdahulu, beliau melawat operasi pusat kawalan Infrasel dan bertemu kira-kira 250 kakitangan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) di Menara Bank Rakyat di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Datuk Johary Anuar, Pengarah Jabatan Kerja Raya Selangor, Lokman Nasir dan Ketua Pegawai Eksekutif KSSB Abdul Rahman Ishak.

Dalam pada itu, Amirudin berkata hampir 40 peratus kerja turapan jalan menerusi projek mega yang dilaksana sejak Mei lalu selesai mengikut jadual dan dijangka siap selewat-lewatnya bulan depan.

“Keseluruhannya, di pihak PBT sudah 73 peratus tetapi untuk pejabat daerah dan tanah (PDT), kerja yang dilaksana masih rendah iaitu sekitar 11 peratus,” katanya.

Sebelum ini, EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim memaklumkan kerja turapan jalan rosak dilaksana secara besar-besaran di sembilan daerah meliputi jarak 94.9km, bermula bulan lalu.

Beliau berkata projek melibatkan 118 jalan merangkumi jalan pihak berkuasa tempatan, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran serta bawah daerah, yang dijangka siap hujung bulan ini.

Jalan terlibat meliputi 66 di Petaling diikuti Klang (39), Gombak (29), Hulu Langat (27), Sepang (19), Sabak Bernam (17), Kuala Langat (16), Kuala Selangor (11) dan Hulu Selangor (lapan).


Pengarang :