Petugas Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) giat melaksanakan kerja baik pulih jalan menggunakan kaedah ‘mill and pave’ di Persiaran Puchong Permai, Subang Jaya pada 11 Julai 2023. Foto Twitter Infrasel
AGENSISELANGOR

Infrasel teruskan kerja turap jalan di Persiaran Puchong Permai

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 14 JULAI: Projek turapan mega yang giat dilaksana di seluruh negeri sejak Mei lalu diteruskan Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) ke daerah Petaling pada 11 Julai.

Syarikat penyelenggara jalan negeri berkata kerja penurapan jalan di Persiaran Puchong Permai menggunakan kaedah kopak lapisan rosak dan turap lapisan baharu (mill and pave).

Sementara itu, kerja membaiki bahu jalan serta pemasangan longkang dan pembentong giat dilaksana di Kampung Batu Satu, Sepang pada 8 Julai.

Petugas Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) menjalankan kerja memasang longkang dan pembentong di Lorong Tiga Kampung Batu Satu, daerah Sepang pada 8 Julai 2023. Foto Twitter Infrasel

Pada 9 Julai lalu, EXCO infrastruktur Ir Izham Hashim memaklumkan kerja turapan jalan rosak besar-besaran di sembilan daerah meliputi jarak 94.9 km yang bermula bulan lepas kini siap 25 peratus.

Beliau berkata projek melibatkan 118 jalan merangkumi jalan pihak berkuasa tempatan, jabatan kerja raya, jabatan pengairan dan saliran serta bawah daerah dijangka siap hujung bulan ini seperti dijadualkan.

Bermula 1 Jun, kerja turapan jalan rosak secara mega dilaksanakan di serata negeri bagi memastikan keadaan jalan baik sekali gus meningkatkan keselamatan pengguna dan mengurangkan risiko kemalangan.

Projek berkenaan melibatkan 66 jalan di Petaling diikuti Klang (39), Gombak (29), Hulu Langat (27), Sepang (19), Sabak Bernam (17), Kuala Langat (16), Kuala Selangor (11) dan Hulu Selangor (lapan).

Petugas Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) melaksanakan kerja menurap di Jalan Persiaran Elmina 1/1, Kuala Selangor pada 11 Jun 2023. Foto Twitter Infrasel

Pada 13 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Selangor menerima peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah untuk menjayakan projek membaiki jalan kampung seluruh negeri.

Kerajaan Selangor turut mengeluarkan belanja RM50 juta bagi projek turapan jalan raya secara mega meliputi penyelenggaraan dan pelebaran jalan kelolaan negeri untuk meningkatkan kemudahan penduduk dan dijalankan secara menyeluruh di Selangor.

Sejak 2021 hingga tahun lalu, lebih 39,000 kerja turapan jalan dilaksanakan Infrasel dengan setiap aduan orang ramai berkaitan kerosakkan jalan termasuk jalan berlubang dibaiki dalam tempoh 24 jam.


Pengarang :