Syarikat penyelenggara jalan negeri Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) menurap Jalan Enggang, Pangsapuri PKNS Taman Keramat, Hulu Kelang pada 25 Julai 2023. Foto Twitter Infrasel
AGENSISELANGOR

Infrasel teruskan kerja turap jalan mega di empat daerah

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 27 JULAI: Projek turapan mega yang giat dilaksana di seluruh negeri sejak Mei lalu diteruskan Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) ke beberapa lokasi di empat daerah.

Syarikat penyelenggara jalan negeri berkata kerja baik pulih jalan menggunakan kaedah turapan atas permukaan jalan sedia ada yang gagal berfungsi dimulakan di Jalan Aman Putra, Sepang, semalam.

Sehari sebelum itu, kerja turapan turut dilaksana di Pangsapuri PKNS Jalan Enggang Taman Keramat (Hulu Kelang) dan Jalan 1/3 Bandar Teknologi Kajang (Hulu Langat).

Sementara pada 23 Julai, kerja turapan jalan turut dilaksana di Jalan Kunci Air Kampung Rantau Panjang (Klang).

“Hasil Selangor buat rakyat Selangor. Nantikan jalan raya yang lebih baik buat rakyat Selangor,” katanya ringkas di Twitter.

Syarikat penyelenggara jalan negeri Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) menurap Jalan Aman Putra Sepang pada 26 Julai 2023. Foto Twitter Infrasel

Pada 9 Julai, EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim memaklumkan kerja turapan jalan rosak besar-besaran di sembilan daerah meliputi jarak 94.9 kilometer siap 25 peratus.

Projek melibatkan 118 jalan merangkumi jalan pihak berkuasa tempatan, jabatan kerja raya, jabatan pengairan dan saliran serta daerah dijangka siap hujung bulan ini seperti dijadualkan.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata projek berskala besar dengan dana RM50 juta bagi memastikan jalan raya negeri berada dalam keadaan baik.


Pengarang :