MPK dan JPS menaik taraf sistem saliran bagi mengatasi masalah banjir di Taman Melawis, Klang pada 17 Mei 2023. Foto Majlis Perbandaran Klang
AGENDANASIONAL

Isu banjir Taman Melawis berakhir apabila projek tebatan siap tahun depan

SHAH ALAM, 6 JULAI: Masalah banjir kilat yang membelenggu kira-kira 1,000 keluarga sekitar Taman Melawis, Klang sejak 20 tahun lalu bakal berakhir sebaik projek tebatan banjir siap sepenuhnya dijangka April tahun depan.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandamaran berkata kerja naik taraf sistem saliran yang bermula sejak awal tahun ini giat dijalankan selepas peruntukan RM16.6 juta dilulus Kerajaan Selangor.

Tony Leong Tuck Chee menjelaskan pelaksanaan projek yang kini mencapai kemajuan 50 peratus membabitkan pendalaman dan pelebaran parit sedia ada di kawasan berkenaan bagi mengelak limpahan air.

“Walaupun berlaku kelewatan 10 peratus disebabkan perlu menunggu kelulusan pengalihan kabel Telekom di tepi jalan raya berhampiran, namun kita yakin projek itu boleh siap mengikut tempoh ditetapkan.

“Kita sedang berusaha mempercepat kelulusan itu daripada syarikat utiliti supaya kerja berkaitan berjalan lancar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berharap projek itu meredakan kegusaran penduduk setempat yang tinggal di kawasan rendah.

“Saya berterima kasih kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari kerana meluluskan peruntukan bagi menjayakan projek ini.

“Sudah tentu bakal melegakan penduduk, jadi saya minta mereka bersabar sehingga projek ini siap,” katanya.


Pengarang :