Penyandang kerusi DUN Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli turun padang melawat Jalan Teluk Piah Kanan pada 22 Jun 2023. Foto Facebook Juwairiya Zulkifli
ADNSELANGOR

Jalan Teluk Piah Kanan Bukit Melawati dinaik taraf suku ketiga tahun ini

SHAH ALAM, 2 JULAI: Jalan Teluk Piah Kanan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati bakal dinaik taraf bermula suku ketiga tahun ini.

Penyandang kerusi DUN Juwairiya Zulkifli berkata kerja baik pulih dibuat memandangkan kemalangan kerap berlaku di kawasan berkenaan.

“Kita sasarkan bagi kerja awalan untuk jangka pendek menelan kos berjumlah RM500,000 dan siap dalam tempoh setahun.

“Bagaimanapun, untuk jangka panjang projek naik taraf jalan ini sudah pun dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dengan kos RM14.6 juta yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor,” katanya di Facebook.

Juwairiya juga berharap kerja menaik taraf berkenaan dapat menyelesai kemelut risiko kemalangan pada masa akan datang.

Pada 22 Jun lalu, beliau turut turun padang melawat jalan berkenaan diiringi Jurutera Daerah JKR Kuala Selangor Ir Hafidzan Idris.

Menerusi Belanjawan tahun ini, Kerajaan Negeri memperuntuk RM145 juta untuk meningkatkan sistem jaringan jalan raya bagi memberi keselesaan kepada pengguna yang semakin bertambah.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM40.98 juta diagih kepada JKR untuk melaksanakan pembinaan jalan baharu di beberapa lokasi.


Pengarang :