Suasana Jelajah Ehsan Rahmah di Masjid Sirajuddin Al Annuar Kampung Batu Belah Klang pada 8 Julai 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jualan murah bantu jimat belanja, tawar barangan berkualiti, segar

Oleh DIANA ABD WAHAB

KLANG, 8 JULAI: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang menawarkan barangan dapur berkualiti pada harga murah membantu meringankan beban rakyat.

Suri rumah Pushparani R Suppaiah, 65, berkata sejak mengunjungi jualan murah itu bulan lalu dia meminta anaknya sentiasa menyemak lokasi jualan berhampiran rumah untuk mendapatkan barang keperluan asas pada harga murah.

“Barang yang dijual berkualiti walaupun harganya murah. Saya bukan orang senang jadi bila berbelanja di sini sangat membantu golongan berpendapatan rendah (B40) sekali gus jimatkan perbelanjaan.

Pushparani R Suppaiah, 65, ketika ditemui di Jelajah Ehsan Rahmah di Masjid Sirajuddin Al Annuar Kampung Batu Belah Klang pada 8 Julai 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Sekarang saya tunggu tarikh jualan murah sahaja kerana di luar tak dapat harga barang seperti di sini. Di luar telur gred C mencecah RM13 sepapan di sini gred B hanya RM10 jadi lebih baik beli di sini.

“Bagi yang memiliki ahli keluarga ramai seperti saya belian barang keperluan di sini berbaloi walaupun perlu menunggu. Jadi saya tak kisah kena beratur lama,” katanya.

Beliau antara 500 pengunjung pada program JER Parlimen Klang kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Masjid Sirajuddin Al-Annuar, Kampung Batu Belah di sini hari ini.

Pandangan sama turut dikongsi peniaga Sree Kumar Vasoo, 48, yang mengakui program itu membantu meringankan beban kewangan khususnya B40 yang mempunyai anak ramai.

Sree Kumar Vasoo, 48, ketika ditemui di Jelajah Ehsan Rahmah di Masjid Sirajuddin Al Annuar Kampung Batu Belah Klang pada 8 Julai 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Saya puji usaha Kerajaan Negeri terutama ketika harga barang tinggi dan kos sara hidup meningkat. Rakyat dapat berjimat banyak dengan beli barang keperluan di jualan murah. Bantuan ini sangat bermakna jadi saya harap ia diteruskan,” katanya.

Siti Hajijah Noor, 68, pertama kali mengunjungi jualan murah mengakui teruja melihat harga murah yang ditawarkan terutama barangan keperluan utama seperti ayam, telur dan beras.

“Puas hati saya dapat beli beras, ayam, telur dan ikan. Terima kasih Kerajaan Negeri kerana prihatin dengan nasib rakyat dan sediakan jualan murah bagi membolehkan rakyat berpeluang beli barang dapur segar dan berkualiti pada harga murah,” katanya.

Siti Hajijah Noor, 68, ketika ditemui di Jelajah Ehsan Rahmah di Masjid Sirajuddin Al Annuar Kampung Batu Belah Klang pada 8 Julai 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Orang ramai boleh menyemak lokasi terkini JER seluruh negeri, setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR Jadual JER pada imej infografik PKPS atau pautan linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :