Orang ramai membeli barangan asas ketika Jualan Ehsan Rahmah (JER) Parlimen Subang Jaya di IPD Subang Jaya pada 16 Julai 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jualan murah beri manfaat golongan bujang, bantu jimat barang dapur

Oleh JULIANA JOHAR

SUBANG JAYA, 16 JULAI: Jualan Ehsan Rahmah (JER) bukan hanya memberi manfaat kepada golongan kurang berkemampuan tetapi juga semua golongan termasuk bujang.

Dalam program Jualan Ehsan Rahmah (JER) Parlimen Subang di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, golongan bujang tidak ketinggalan membeli pelbagai barangan asas yang dijual pada harga murah.

Konstabel polis, Muhammad Syafiq, 25, berkata dia tidak terkecuali mencari barang keperluan asas seperti telur dan beras menerusi program JER berikutan harganya murah dan berpatutan.

“Saya baharu sahaja duduk di sini selepas tamat latihan polis di Johor.

Muhammad Syafiq 25, menunjukkan barang yang dibeli ketika program Jualan Ehsan Rahmah (JER) Parlimen Subang Jaya di IPD Subang Jaya pada 16 Julai 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

“Walaupun masih bujang saya turut terasa dengan kenaikan harga barang dan disebabkan itu, JER sangat membantu.

“Sekarang saya dan kawan-kawan jarang makan di luar, kami lebih suka masak di rumah agar dapat berjimat,” katanya ditemui hari ini.

Sementara itu, pasangan warga emas dari USJ9 yang merupakan pesara polis, Osman Lasim, 70, dan isteri, Zainab Muhammad, 67, berkata sudah lebih 10 kali mereka mengunjungi JER di sekitar kediaman mereka.

“Kalau ikutkan sudah lebih 10 kali beli barang keperluan di JER memandangkan kami berdua enggan bebankan anak-anak yang turut ada tanggungan masing-masing.

Osman Lasim 70 , menunjukkan barang yang dibeli ketika program Jualan Ehsan Rahmah (JER) Parlimen Subang Jaya di IPD Subang Jaya pada 16 Julai 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

“Menerusi program JER kami dapat berjimat, harga macam ni memang tidak dapat di luar,” kata Osman.

Ibu kepada tiga cahaya mata, Norshidah Bedullah, 40, dari USJ8 pula berkata dengan membeli di JER, dia dapat jimat RM150 sebulan.

“Kalau dibuat kira-kira, memang saya dapat jimat kira-kira RM150 sebulan.

“Hari ini saya hanya perlu bayar RM90 sudah dapat dua ekor ayam, dua papan telur dan dua botol minyak masak.. kalau dekat luar, memang tidak dapat harga ini,” katanya.

Norshidah Bedullah 40, menunjukkan barang yang dibeli ketika program Jualan Ehsan Rahmah (JER) Parlimen Subang Jaya di IPD Subang Jaya pada 16 Julai 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

Jualan JER kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menawarkan ayam RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Orang ramai boleh menyemak lokasi terkini JER seluruh negeri, setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR Jadual JER pada imej infografik PKPS atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :