Penduduk tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan keperluan asas di Jualan Ehsan Rahmah (JER) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing di Pangsapuri Damasara Bistari, Petaling Jaya pada 4 Julai 2023. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Jualan murah di tiga lokasi DUN Bukit Gasing sepanjang Julai

OLEH NAS NORZIELA NASBAH

PETALING JAYA, 4 JULAI: Program jualan murah barangan asas akan berlangsung di tiga lokasi terpilih di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing sepanjang bulan ini.

Bermula hari ini di Pangsapuri Damasara Bistari, program Jualan Ehsan Rahmah (JER) akan diteruskan di Tokong Yeong Leong, Kampung Damasara (10 Julai) dan Dewan Serbaguna Gasing Indah (13 Julai).

Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya Yip Sean Yi berkata pihaknya bersama pejabat DUN Bukit Gasing sentiasa mendapatkan maklum balas penduduk supaya jualan itu diadakan di lokasi sesuai.

“Kita menerima reaksi positif setiap kali JER dijalankan di sini dan segala maklum balas akan cuba kami selesaikan bagi memastikan perjalanan program lancar.

“Apa yang penting semua penduduk mendapat manfaat terutama yang memerlukan. Mereka dapat berjimat banyak dan mendapatkan keperluan asas dengan harga berpatutan,” katanya ketika ditemui.

JER menawarkan ayam RM10 seekor, daging pejal beku (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Dikenali sebagai Jelajah Ehsan Rakyat sebelum ini, inisiatif itu akan diteruskan sehingga hujung tahun ini dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

 


Pengarang :