Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama orang ramai dalam Program Jualan Ehsan Rahmah Parlimen Gombak di Padang Awam Batu Caves pada 9 Julai 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan murah jimat belanja keluarga besar, penduduk mahu ia diteruskan

Oleh YUSLIZA YAKIMIR ABD TALIB

GOMBAK, 9 JULAI: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) Parlimen Gombak di Padang Awam Batu Caves di sini melegakan penduduk khasnya keluarga besar berikutan mereka mampu berjimat.

Suri rumah Zainab Salleh, 66, berkata inisiatif JER itu antara yang dinanti setiap minggu malah dia berusaha hadir ke setiap lokasi terutama yang berhampiran rumahnya untuk membeli keperluan lebih murah berbanding harga pasaran.

Zainab Saleh, 66, ketika ditemui dalam Program Jualan Ehsan Rahmah Parlimen Gombak di Padang Awam Batu Caves pada 9 Julai 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Zainab yang sudah lebih 15 kali mengunjungi JER berkata dia sekeluarga tidak lagi perlu mengikat perut berikutan program berkenaan menyantuni keluarga besar dan berpendapatan rendah (B40).

“Di rumah ada lima orang, jika tiada jualan murah seperti ini memang kami terpaksa berbelanja dengan berhemah malah ada masa perlu mengikat perut. Sekarang, saya dan suami mampu berjimat lebih RM100 sebulan untuk membeli barang keperluan keluarga,” katanya.

Pesara, Johari Yusoff, 60, yang menunggu sejak 8 pagi berkata program itu dimanfaatkan sepenuhnya untuk membeli barangan seperti ayam, daging, telur, minyak dan beras.

Johari Yusoff, 60, ketika ditemui dalam Program Jualan Ehsan Rahmah Parlimen Gombak di Padang Awam Batu Caves pada 9 Julai 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Harga ayam murah iaitu RM10 seekor selain telur RM10 sepapan bantu menjimatkan perbelanjaan keluarga besar seramai tujuh orang di rumah kami.

“Bayangkan jika beli di luar seekor ayam bersaiz besar berharga lebih RM20. Jadi, saya harap program ini diteruskan, ditambah baik dan dilaksanakan lebih kerap di sini,” katanya.

Warga emas, Ramachandra Rajamanikam 63, yang baru pertama kali berkunjung ke jualan murah itu memuji program berkenaan yang menawarkan barangan murah tetapi berkualiti.

Ramachandra Rajamanikam, 63, ketika ditemui dalam Program Jualan Ehsan Rahmah Parlimen Gombak di Padang Awam Batu Caves pada 9 Julai 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Harga begini tidak dapat di pasaran luar jadi banyak duit dapat dijimatkan. Patutlah program ini menjadi bualan rakan-rakan saya, telur pun murah jadi setidak-tidaknya jika terdesak masih ada telur untuk isi perut.

“Meskipun penjimatan nampak kecil, tapi bagi yang kurang berkemampuan berjimat RM4 sudah besar nilainya,” katanya.

Dalam program yang berlangsung di pekarangan Padang Awam Batu Caves, Gombak pagi tadi, 500 ekor ayam, 300 pek ikan, 300 papan telur, 300 pek daging, 300 kampit beras dan 150 pek minyak habis terjual dalam tempoh kurang dua jam selepas program bermula 10 pagi.

Jualan murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Petugas PKPS bersama petugas parlimen Gombak membuat persediaan sebelum Program Jualan Ehsan Rahmah Parlimen Gombak di Padang Awam Batu Caves pada 9 Julai 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Mulai 15 Julai ini PKPS menjual minyak masak paket satu kg pada harga RM2 bagi memenuhi permintaan pengunjung.

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :