Orang ramai membeli pelbagai barangan asas dalam program Jualan Ehsan Rahmah (JER) Parlimen Kota Raja yang diadakan di Surau Kampung Pandan, Kampung Jawa pada 25 Julai 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan murah Kota Raja dapat sambutan, barangan asas habis kurang dua jam

Oleh Nina Farzuin Md Sharom

KLANG, 25 JULAI: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) Parlimen Kota Raja di Kampung Pandan, Kampung Jawa hari ini menerima sambutan menggalakkan malah barangan asas yang ditawarkan habis dalam tempoh satu jam setengah.

Penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, lebih 300 pengunjung hadir untuk mendapatkan pelbagai barangan asas seperti ayam, telur, beras, ikan, daging dan minyak masak.

“Alhamdulillah, kita tidak sangka sambutan hari ini sangat baik sebab kebiasaannya tumpuan hanya diberikan pada hujung minggu.

“Rata-rata pengunjung mengharapkan program ini diteruskan terutama golongan B40 di kawasan pinggir bandar ini,” katanya ditemui pada program itu hari ini.

Orang ramai membeli pelbagai barangan asas dalam program Jualan Ehsan Rahmah (JER) Parlimen Kota Raja di Surau Kampung Pandan, Kampung Jawa pada 25 Julai 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Barangan asas yang dibawa dalam program kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) hari ini adalah 500 pek ayam, telur (300 papan), beras (300 kampit), ikan (300 pek), daging (300 pek) dan minyak masak (150 botol).

Mengulas lanjut, Mohd Zawawi berkata, JER merupakan inisiatif yang dijalankan Kerajaan Negeri bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam membantu mengurangkan beban rakyat yang terkesan dengan kenaikan harga barangan.

“Sementara kerajaan pusat sedang mencari mekanisme untuk menurunkan harga barang, subsidi disalurkan ke atas barangan asas seperti ikan, ayam, telur dan sebagainya menerusi program ini.

“Kita juga akan perkemaskan lagi program ini dengan penambahbaikan seperti menyemak kad pengenalan pengunjung agar keutamaan diberikan kepada warganegara,” katanya.

Sementara itu, warga emas Jamilah Ahmad, 80, teruja apabila pertama kali menjejakkan kaki ke program jualan murah itu.


Jamilah Ahmad, 80, membeli barangan dalam program Jualan Ehsan Rahmah (JER) Parlimen Kota Raja di Surau Kampung Pandan, Kampung Jawa pada 25 Julai 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

“Saya sudah lama tahu mengenai jualan murah ini dan hari ini baru ada kesempatan untuk datang sebab dekat dengan rumah dan ada yang bantu untuk bawa saya ke sini.

“Memang seronok datang tengok barang semua segar dan berkualiti tapi dijual pada harga murah,” katanya.

Turut berkongsi pengalaman sama, warga emas Mahadzir Abd Rahman, 71, berkata, harga murah mendorongnya untuk datang membeli barangan keperluan dapur.

“ini satu inisiatif yang baik dari Kerajaan Negeri bagi mengurangkan beban rakyat dan sebab itu juga saya tidak melepaskan peluang untuk datang hari ini.


Mahadzir Abd Rahman, 71, ditemui dalam program Jualan Ehsan Rahmah (JER) Parlimen Kota Raja di Surau Kampung Pandan, Kampung Jawa pada 25 Julai 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

“Jika Kerajaan Negeri hari ini terus berusaha bantu rakyat seperti ini, saya pasti rakyat pun akan bantu kekalkan Kerajaan Negeri hari ini,” katanya.

Jualan murah berkenaan adalah kesinambungan Jualan Ehsan Rakyat sebelum ini yang dijenamakan semula pada 1 Jun dan diteruskan hingga Disember depan, dengan kerjasama KPDN.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan http://linktr.ee/myPKPS


Pengarang :