Petugas Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) membawa turun bekalan ayam dari lori pada Jualan Ehsan Rahmah peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya di Pasar Juadah Apartmen Taman Sri Bayu, Ampang pada 5 Julai 2023. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jualan murah manfaat 1,000 keluarga B40 di DUN Lembah Jaya

OLEH DIANA ABD WAHAB

AMPANG, 5 JULAI: Hampir 1,000 keluarga khasnya berpendapatan rendah (B40) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya menerima manfaat menerusi dua program jualan murah di kawasan itu.

Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Tasik Tambahan berkata program Jualan Ehsan Rahmah (JER) perlu diadakan lebih kerap untuk menampung permintaan penduduk.

“Setiap kali penganjuran tidak kurang 300 hadir mendapatkan barang mentah pada harga murah, justeru kita lihat keperluan untuk adakan program ini lebih kerap,” kata Ridzuan Dahalan.

Ditemui pada program tersebut di Pasar Juadah Apartmen Taman Sri Bayu pagi tadi, beliau berkata ahli majlis Majlis Perbandaran Ampang Jaya turut berhasrat mewujudkan kedai mini di kawasan itu.

Beliau berkata barangan yang dijual meliputi keperluan asas seperti ayam dan telur, yang boleh dibeli pada bila-bila masa berikutan jualan murah ketika ini dianjurkan secara berjadual.

“Hasrat ini dibincangkan sejak tahun lalu, namun usaha untuk merealisasikannya masih dibincangkan berikutan banyak faktor perlu dipertimbang seperti lokasi dan kemudahan parkir.

“Ini perancangan jangka panjang memandangkan program jualan murah ketika ini dianjurkan secara berjadual dalam tempoh singkat, jadi tidak semua berpeluang beli bila ia dianjurkan,” katanya.

Sebelum ini, EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail berkata pentadbiran negeri mempertimbang cadangan mewujudkan kedai mini menjual barangan asas di setiap DUN dengan harga murah.

 


Pengarang :