Orang ramai tidak melepaskan peluang berbelanja pada Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing di Pangsapuri Damansara Bistari pada 4 Julai 2023. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jualan murah tawar produk berkualiti, jimat belanja penduduk

OLEH NAS NORZIELA NASBAH

PETALING JAYA, 4 JULAI: Bahan mentah basah dan kering yang dijual pada Jualan Ehsan Rahmah (JER) diakui berkualiti dan menjadi pilihan utama seorang peniaga kedai runcit untuk kegunaan harian.

Menurut Azman Abd Rahman, 53, program kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu sering dikunjungi di lokasi sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing sejak tahun lalu.

Azman Abd Rahman, 53

“Saya tidak pernah ketinggalan berbelanja di JER yang disediakan Kerajaan Negeri untuk rakyat Selangor. Sejak dianjurkan, saya akan dapatkan minyak masak dan beras untuk digunakan di rumah.

“Kualitinya sangat bagus. Apatah lagi bahan mentah basah seperti ayam, daging dan ikan semuanya berkualiti serta tahan lama,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Suri rumah, Siti Hajar, 36, yang pertama kali berbelanja pada jualan itu gembira dapat membeli pelbagai keperluan asas yang lebih murah berbanding harga pasaran.

“Rugi jika peluang ini tidak dimanfaatkan penduduk. Saya cukup teruja dapat berbelanja hari ini kerana dapat berjimat memandangkan keperluan asas seperti ayam, telur, ikan cukup murah.

“Terima kasih Kerajaan Selangor atas inisiatif yang sangat memberi manfaat kepada kami sebagai rakyat negeri ini,” kata ibu kepada empat cahaya mata itu.

Faridah Abdul Rahman, 59

Seorang lagi suri rumah, Faridah Abd Rahmah, 59, memberitahu kesemua keperluan asas yang dijual cukup berkualiti dan tahan lama jika membuat penyimpanan yang betul.

“Tidak perlu risau kerana kualiti semua barang yang dijual sangat baik. Minyak masak jika beli sebotol pun ada kala tahan untuk sebulan di rumah saya,” katanya .

Jualan murah itu akan diteruskan hingga Disember ini, kali ini dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN).

JER menawarkan ayam RM10 seekor, daging pejal segar (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :