Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof (kanan) menyerahkan bungkusan barangan keperluan asas yang dibeli orang ramai pada program Jualan Ehsan Rahmah (JER) di tapak pasar malam Bukit Subang, Shah Alam pada 10 Julai 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KDNK tinggi bukti pentadbiran negeri cemerlang, jamin kebajikan berterusan

OLEH JULIANA JOHAR

SHAH ALAM, 11 JULAI: Kejayaan Selangor sebagai penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara tahun lalu menjamin pelbagai program memanfaatkan rakyat dapat diteruskan.

Wakil rakyat Shah Alam Azli Yusof berkata pencapaian membanggakan itu juga membuktikan Kerajaan Negeri ditadbir dengan baik bawah kepimpinan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Saya percaya pentadbiran bawah kepimpinan Dato’ Amirudin Shari telah diurus dengan baik, KDNK dan rizan pun meningkat sejak Pakatan Harapan (HARAPAN) mengambil alih Selangor pada 2008.

“Ini bermaksud Selangor ditadbir dengan baik dan apabila semua ini ditingkatkan, secara tidak langsung kita boleh beri pelbagai manfaat kepada rakyat,” katanya ketika ditemui semalam.

Beliau turut memuji pelaksanaan program Jualan Ehsan Rahmah (JER) untuk menangani kenaikan harga makanan asas seperti ayam dan beras, dengan menjualnya 30 peratus lebih murah daripada pasaran.

Dalam pada itu, Azli percaya rakyat Selangor semakin matang dan bijak untuk menilai pentadbiran Selangor dengan menterjemahkannya atas kertas undi dalam pilihan raya negeri kelak.

“Rakyat Selangor cerdik. Semua datang ke sini mencari dan membina kehidupan, terus bermaustatin, beli rumah sebab tahu negeri diurus dengan baik dan semakin makmur,” katanya.

Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Selangor mengekalkan prestasi sebagai penyumbang KDNK tertinggi bagi 2022 iaitu 25.5 peratus, meningkat 0.7 peratus berbanding 2021.

Pencapaian tertinggi dalam tempoh 14 tahun bawah pentadbiran HARAPAN disumbang pelbagai sektor seperti pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan.

 


Pengarang :