AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kempen bayar balik pinjaman niaga Hijrah catat kutipan RM8.78 juta

SHAH ALAM, 4 JULAI: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) mengutip RM8.78 juta bayaran balik pinjaman perniagaan menerusi kempen pemulihan kredit setakat awal bulan ini.

Penolong pengurus kanan operasinya berkata jumlah itu membabitkan penyertaan seramai 1,911 usahawan yang membuat pinjaman menerusi skim-skim tersedia seperti i-Bisnes, Zero to Hero, Niaga Darul Ehsan (NaDI), Go Digital dan i-Bermusim.

“Ini membuktikan komitmen usahawan membayar balik pinjaman mengikut jadual ditetapkan,” kata Muhammad Hafizi Jamaludin ketika dihubungi.

Dalam pada itu, beliau menggalakkan lebih ramai usahawan khususnya yang berdepan kesukaran membayar balik pinjaman mengikut jadual menyertai pelan pemulihan berkenaan yang dibuka secara berterusan.

Muhammad Hafizi berkata usahawan berminat menyertai skim pemulihan itu boleh berurusan dengan pegawai cawangan berhampiran.

“Melalui kaedah ini, bayaran balik pinjaman mingguan usahawan itu boleh dikurangkan mengikut kemampuan mereka,” katanya.

Selain pelan pemulihan pembiayaan, agensi berkenaan ketika ini turut melaksanakan kempen bayaran balik dan menang sejak 1 Januari hingga 18 Disember ini.

Usahawan aktif membuat bayaran balik layak menyertai kempen itu secara automatik selain berpeluang memenangi hadiah misteri lebih RM20,000.


Pengarang :