Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih Wan Zulaika Anua menemui orang ramai dalam program Jelajah Ehsan Rakyat di Bandar Tasik Kesuma, Semenyih pada 31 Julai 2023. Foto Fitri Hazim Hazam/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Kesesakan lalu lintas, bela golongan belia, OKU fokus calon BN DUN Semenyih

Oleh Fitri Hazim Hazam

SEMENYIH, 31 JULAI: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih komited menyelesaikan isu kesesakan lalu lintas jika diberi mandat pada pilihan raya negeri (PRN).

Wan Zulaika Anua, 49, berkata kesesakan membabitkan jalan dari Eco Hill Semenyih hingga ke Taman Pelangi Semenyih dari jam 6.30 hingga 9.30 pagi dan 3.30 petang hingga 7.30 malam pada hari bekerja.

“Misi saya untuk Semenyih selesaikan masalah kesesakan lalu lintas yang tertumpu di kawasan kritikal seperti ketika waktu kemuncak apabila penduduk pulang dari kerja.

“Saya juga menerima rungutan daripada guru kepadatan di perkarangan sekolah ketika waktu pulang untuk sesi pagi dan sesi petang yang mulakan sesi persekolahan.

Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih Wan Zulaika Anua menemui orang ramai dalam program Jelajah Ehsan Rakyat di Bandar Tasik Kesuma, Semenyih pada 31 Julai 2023. Foto Fitri Hazim Hazam/SELANGORKINI

“Ini disebabkan kepadatan murid, memandangkan pembinaan sekolah di Taman Pelangi masih lagi dalam proses pembinaan yang perlahan. Ini keutamaan saya sekiranya diberi mandat kerana ia melibatkan kesejahteraan rakyat,” katanya ditemui pada Program Jelajah Ehsan Rakyat di Bandar Tasik Kesuma di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ketua Wanita Umno Hulu Langat juga berhasrat memenuhi keperluan belia dan membela kebajikan golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

“Untuk anak-anak muda yang lebih suka bermain sukan tiada padang khusus buat mereka sedangkan kepadatan penduduk mencecah 97,000 orang atau pengundi tidak termasuk mereka yang belum boleh mengundi.

“Saya juga akan beri penekanan buat golongan OKU,” katanya.

Wan Zulaika berdepan calon Perikatan Nasional (PN) Nushi Mahfodz. Hari mengundi pilihan raya negeri ditetapkan 12 Ogos ini.


Pengarang :