Ketua Setiausaha Kementerian Perdangangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Azman Mohd Yusof (tengah) bergambar bersama lapan legenda rock selepas sidang media konsert Semangat Zaman di Kota Permai Golf & Country Resort, Kota Kemuning, Shah Alam pada 4 Julai 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Konsert Semangat Zaman gabung lapan legenda rock, gegar KL 29 September

OLEH JULIANA JOHAR

SHAH ALAM, 4 JULAI: Lapan vokalis kumpulan rock tanah air bakal menggegarkan pentas bagi menjayakan konsert Semangat Zaman di Zepp, Kuala Lumpur pada 29 September.

Konsert berskala besar itu bagi mengimbau nostalgia album Semangat Zaman yang diterbitkan pada 2004, dengan menampilkan nama-nama besar seperti Aris Ariwatan dan Yantzen (Rusty Blade).

Turut dijadual membuat persembahan ialah Datuk Nash dari kumpulan Lefthanded, Joey (Bumiputera Rockers), Rahmad (Mega), Jatt (Black Dog Bone), Muss dan Bandi (Amuk).

Penganjurnya Jean Lau berkata konsert itu diadakan bagi menghargai bakat penyanyi veteran selain mengembalikan kegemilangan lagu rock, yang popular sekitar 80-an.

“Kami menganjurkan konsert ini bagi menghargai artis-artis senior yang telah banyak memberikan sumbangan kepada industri hiburan tempatan.

Lapan legenda rock tanah air bergambar bersama selepas sidang media konsert Semangat Zaman di Kota Permai Golf & Country Resort, Kota Kemuning, Shah Alam pada 4 Julai 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Kami juga ingin memberikan nafas baharu kepada muzik rock dan ini akan dapat disaksikan menerusi konsert ini kelak,” katanya dalam majlis pelancaran di sini.

Pelancaran disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeridan Kos Sara Hidup Datuk Azman Mohd Yusof di Kota Permai Golf & Country Club, Kota Kemuning hari ini.

Sementara itu, Azman dalam ucapannya berkata legenda rock berkenaan wajar dicontohi penyanyi generasi baharu berikutan kebanyakan lagu yang didendangkan masih relevan.

“Mereka boleh dijadikan rujukan untuk artis masa hadapan sebab lagu-lagu zaman dahulu masih relevan. Diharapkan konsert ini akan dapat diteruskan untuk edisi akan datang,” katanya.

Tiket berharga RM208, RM328 dan RM388 akan dijual mulai 15 Julai di www.bookmyshow.com.


Pengarang :