Sebahagian pelajar Institusi Pengajian Tinggi bersorak kegembiraan selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan elaun tambahan sebanyak RM100 kepada pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam pada program Bicara Siswa Cakna Madani di Dewan Canselor Tun Abdul Razak Universiti Kebangsaan Malaysia pada 13 Jun 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KPM jamin tidak pinggir mana-mana kaum dalam bidang pendidikan

KULIM, 9 JULAI: Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan tidak ada mana-mana kaum yang dipinggirkan daripada peluang pendidikan di negara ini dan akan sentiasa berusaha menambah baik sistem sedia ada.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata walaupun kerajaan berpendirian mengekalkan sistem kuota Melayu dan bumiputera, peluang dalam pendidikan juga harus diberikan kepada pelajar daripada kaum lain.

“Kita memang bersama dengan apa yang dinyatakan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), tetapi dalam masa yang sama di peringkat KPM kita ada banyak penambahbaikan dan saya ingin memberi jaminan bahawa kita tidak meminggirkan mana-mana bangsa (untuk belajar).

“Ini penting khususnya bagi tingkatan enam yang sedang kita lihat dan peluang lain untuk memastikan semua anak kita mendapat akses pendidikan yang sama. Jadi tiada siapa akan dipinggirkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Pertandingan Inovasi dan Robotik peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri dalam Program Temu Anwar di Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah menjelaskan sistem kuota Melayu dan bumiputera dalam bidang pendidikan perlu dikekalkan bagi mengimbangi jumlah pelajar kaum itu di institusi pengajian tinggi.

Sementara itu, Fadhlina berkata program yang ditawarkan kolej vokasional di bawah KPM mencapai kejayaan yang memberangsangkan apabila kebolehpasaran graduan pada kadar lebih 90 peratus ketika ini.

“Sukacita dimaklumkan bahawa kadar kebolehpasaran graduan kolej vokasional kami (KPM) telah melepasi 90 peratus dan kesemua 606 program diploma yang kami tawarkan mendapat akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia dan Lembaga Teknologis Malaysia.

“Kita perlu hebahkan kepada orang ramai supaya mereka sedar peluang yang ditawarkan di kolej vokasional,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :