Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada program Ziarah Korban Aidiladha Parlimen Gombak di Padang Kampung Sungai Pusu, Gombak pada 1 JULAI 2023.. FOTO/MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kritikan tidak patah tekad kerajaan pulih ekonomi, tangani sara hidup rakyat

Oleh YUSLIZA YAKIMIR ABD TALIB

GOMBAK, 1 JULAI: Kritikan dan cercaan tidak mematahkan tekad Kerajaan untuk terus bekerja keras memulihkan ekonomi negara, kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Ahli Parlimen Gombak berkata Kerajaan Perpaduan berhasil mengawal inflasi bagi memastikan harga barang tidak melonjak meskipun terdapat sedikit kenaikan.

“Ia dilakukan dengan berhati-hati dan kerajaan dapat mencapai inflasi yang paling rendah dalam tempoh satu tahun setengah.

“Malah masalah bekalan telur dan ayam yang berlaku 10 bulan lepas berjaya ditangani dengan baik hingga ketika Aidilfitri dan Aidiladha bekalan kedua-dua bahan ini tetap ada (mencukupi),” katanya.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua berkata demikian ketika ditemui pada program Jelajah Ziarah Korban Aidiladha Parlimen Gombak di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Pusu di sini hari ini.

Amiruddin menjelaskan kerajaan juga akan memperkukuhkan ekonomi menerusi pelan ekonomi yang akan dibentangkan Julai atau Ogos ini.

Sebelum ini, kerajaan telah mengambil beberapa langkah proaktif menangani isu inflasi dan kesan terhadap harga barangan keperluan asas yang melanda negara.

Bagi menangani kos sara hidup rakyat, kerajaan memperkenalkan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang membantu rakyat meraih pendapatan dan dalam masa sama memastikan bekalan keperluan harian rakyat sentiasa ada dalam pasaran.

Kerajaan turut memperkenalkan Menu Rahmah yang menawarkan makanan tidak melebihi RM5.00 untuk setiap hidangan bagi menangani salah satu komponen inflasi iaitu Makanan Di Luar Rumah.

Program bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Kos Sara Hidup bersama rakan strategik yang terdiri dari pengusaha kedai makanan dan Persatuan Pengusaha Restoran dan Gerai Makanan, dilakukan secara sukarela dalam usaha kerajaan mengurangkan kos sara hidup terutama golongan miskin tegar.


Pengarang :