Anggota polis Sarawak berbaris pada majlis Perhimpunan Bulanan yang disempurnakan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak pada 12 Julai 2023. Foto Bernama
AGENDAJENAYAH

Lebih 13,000 anggota polis bertugas di PRN Selangor

PETALING JAYA, 28 JULAI: Polis menggerakkan 13,043 pegawai dan anggotanya bermula hari penamaan calon hingga hari mengundi pada 12 Ogos ini, bagi memastikan kelancaran proses Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata daripada jumlah itu 10,843 pegawai dan anggota adalah daripada Kontinjen Selangor sendiri, manakala selebihnya daripada kontinjen lain selain turut dibantu anggota agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Bagi menguatkan penugasan itu, polis juga mengatur gerak empat pasukan PORU (Unit Tindakan Rusuhan Awam) dan empat pasukan FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan) melibatkan 728 orang, manakala LSF (Unit Tempur Ringan) ada 13 pasukan merangkumi 104 anggota,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan latihan amal Kontinjen Selangor sempena PRN di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di sini semalam.

Hussein berkata dengan persiapan, latihan amal, kursus ulangan yang telah dilakukan sejak beberapa bulan lalu, polis bersedia bersama agensi lain untuk menghadapi hari mengundi dan hari penamaan calon sempena PRN kali ini.

Sementara itu, Hussein berkata polis telah mengenal pasti 27 ‘hotspot’ (kawasan pernah terjadi insiden) berdasarkan nama besar yang akan bertanding dan 56 ‘flashpoint’ (kawasan dijangka berlaku kekecohan) di sekitar Selangor.

“Antara kawasan berkenaan ialah Kuala Selangor, Shah Alam, Kuala Langat, Ampang, Klang Utara, Serdang, Klang Selatan dan Sungai Buloh,” katanya.

Menurutnya 37 jalan di 12 daerah di negeri ini akan ditutup bermula 6 pagi hingga 12 tengah hari pada hari penamaan calon Sabtu ini.

Beliau berkata 15 laporan polis juga telah diterima melibatkan kes kerosakan kain rentang dan bendera antaranya di Gombak, Subang Jaya dan Kuala Selangor.

“Daripada jumlah itu enam kertas siasatan telah dibuka, dengan lima kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat, manakala satu kes di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api,” katanya.

Pada 5 Julai lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Ogos sebagai hari pengundian bagi PRN iaitu di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

– BERNAMA


Pengarang :