Persembahan kombo MBSA antara aktiviti menarik disediakan pada program Hari Tanpa Kenderaan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Dataran Kemerdekaan MBSA, Seksyen 14, Shah Alam pada 9 Julai 2023. Foto Ihsan MBSA
PBTSELANGOR

Lebih 1,500 pengunjung meriahkan Hari Tanpa Kenderaan MBSA

Oleh SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM, 9 JULAI: Program Hari Tanpa Kenderaan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Dataran Kemerdekaan MBSA, Seksyen 14, di sini hari ini disambut meriah dengan kehadiran lebih 1,500 pengunjung.

Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata pada edisi kali ini, MBSA mengadakan program ‘Kucing Angkat’ yang mana pengunjung boleh mengambil kucing terbiar itu sebagai haiwan peliharaan.

“Sebanyak 10 ekor kucing disediakan, semua kucing ini telah divaksin dan dibuat pemeriksaan kesihatan.

Aktiviti untuk kanak-kanak turut diadakan pada program Hari Tanpa Kenderaan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Dataran Kemerdekaan MBSA, Seksyen 14, Shah Alam pada 9 Julai 2023. Foto Ihsan MBSA

“Kita mahu meningkatkan kesedaran komuniti setempat dan menggalakkan kerjasama berterusan semua pihak untuk lebih bertanggungjawab kepada haiwan peliharaan demi persekitaran bersih dan selamat,” kata MBSA menerusi kenyataan.

Turut diadakan dalam program itu pertandingan Kucing Tercantik yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM450 dan hamper.

Aktiviti menarik lain yang disediakan adalah larian kitar semula ‘Shah Alam Recycle Fun Run’ disertai 500 peserta, Fun Walk, kayuhan santai, senamrobik serta persembahan kombo MBSA.

Untuk kanak-kanak diadakan aktiviti seperti klinik pembangunan sukan silat, memanah, zoo mini, kraftangan dan perpustakaan bergerak.

Majlis pelepasan disempurnakan Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Ir Cheremi Tarman.


Pengarang :