Lebih 80 peratus kerja-kerja membaik pulih dan penurapan jalan di DUN Meru berjaya diselesaikan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk berkuasa tempatan (PBT) dan pejabat daerah. Foto Facebook Mohd Fakhrulrazi Mokhtar
ADNSELANGOR

Lebih 80 peratus jalan rosak di DUN Meru siap diturap

OLEH NINA FARZUIN MD SHAROM

SHAH ALAM, 11 JULAI: Lebih 80 peratus jalan raya di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru siap diturap dan dibaik pulih, sebahagiannya bawah Projek Selangor Penyayang (PSP) bernilai RM1 juta.

Penyandang kerusi DUN terbabit berkata projek itu juga menggunakan dana Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris), yang diuruskan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurut Mohd Fakhrulrazi Mokhtar, ia turut melibatkan peruntukan bawah Majlis Perbandaran Klang dan Jabatan Kerja Raya (JKR), selain sumbangan program tanggungjawab sosial korporat.

“Saya sangat berpuas hati dengan pencapaian ini dan amat berterima kasih kepada PBT, JKR serta pejabat daerah kerana banyak membantu menyelesaikan isu-isu berkaitan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata isu banjir di DUN berkenaan juga akan diatasi melalui pembinaan kolam tadahan di Kampung Budiman, yang dilaksana Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor bernilai RM20 juta.

“Perkembangan projek berjalan 30 peratus dan beri kesan positif apabila kawasan berkenaan tidak lagi dinaiki air. Projek kedua bernilai RM220 juta juga akan dijalankan tidak lama lagi,” katanya.

 


Pengarang :