Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Jelajah Selangor Penyayang daerah Sepang di Kota Warisan, Sepang pada 30 Oktober 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Legasi gemilang dua Dato’ Menteri Besar lonjak ekonomi Selangor

OLEH ABDUL RAHIM SABRI & NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 27 JULAI: Fakta tetap fakta. Selangor terus meningkat maju sejak Pakatan Harapan (HARAPAN) mengambil alih pada 2008, mewarisi pentadbiran Barisan Nasional yang telah meletakkan asas yang kukuh.

Namun begitu, tidak semua pemimpin berjaya melonjakkan kejayaan negeri. Ada waktunya wujud penurunan pencapaian dalam tempoh 15 tahun tersebut, khususnya ketika diterajui Dato’ Seri Azmin Ali (2014-2018).

Walau ada penurunan, pencapaian Tan Sri Khalid Ibrahim (hingga 2014) diteruskan dengan baik bawah kepemimpinan Dato’ Seri Amirudin Shari (mulai 2018).

Sumbangan Selangor dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat jauh lebih baik bawah Dato’ Menteri Besar yang baharu.

Dalam tempoh lima tahun sejak 2018, sumbangan Selangor kepada KDNK Malaysia meningkat daripada 23.7 peratus kepada 24.3 peratus pada 2020, sewaktu negara berdepan pandemik Covid-19.

Rekod ini lebih baik daripada pentadbiran Azmin, kini bersama Perikatan Nasional, yang menurun antara 22.4 peratus hingga 23.0 peratus sahaja.

Sebaliknya era Khalid, sumbangan KDNK sudah meningkat daripada 21.8 peratus hingga 23.7 peratus.

Begitu juga jumlah pelaburan diluluskan dalam sektor pembuatan. Malah, ada lonjakan luar biasa antara 2018 hingga 2020, sebelum Covid-19 menjejaskan ekonomi dunia dan negara.

Sektor ini memang meningkat perlahan-lahan sewaktu negeri ditadbir Khalid tetapi ada penurunan bawah teraju Azmin. Ia meningkat lebih ketara bawah Amirudin.

Rizab negeri meningkat daripada RM2.14 bilion pada 2018 kepada RM3.70 bilion tahun lalu. Peningkatan ini tidak bermakna Kerajaan Negeri tidak berbelanja. Malah, ia berbelanja lebih RM1 bilion berbanding pemimpin dahulu.

Pentadbiran Azmin hanya menghabiskan RM1.3 bilion tetapi Amirudin berbelanja sebanyak RM2.37 bilion.

“(Angka) ini menunjukkan ada perbezaan RM1 bilion perbelanjaan yang telah digunakan oleh pentadbiran HARAPAN dalam penggal yang ke-14 untuk kebaikan dan kesejahteraan rakyat.

“Kita bukan mengurangkan tetapi menambah perbelanjaan (bantuan) untuk rakyat,” kata Amirudin pada 15 Julai, sambil menjelaskan bilangan program kebajikan naik kepada 46 inisiatif.

Hasil negeri Selangor meningkat daripada RM1.9 bilion sewaktu beliau dilantik Dato’ Menteri Besar kepada RM2.3 bilion setahun kemudian. Pada 2020, akibat wabak, kutipan hasil mencatat RM2.257 bilion.

Setahun kemudian, hasil negeri meningkat sedikit kepada RM2.284 bilion. Hasil Selangor pada 2022 merekodkan angka RM2.533 bilion, melebihi sasaran awal iaitu RM 2.05 bilion. (Selangorkini, edisi 6-12 Julai 2023).

Dengan kemajuan yang tercipta itu, Selangor dapat mengurangkan hutang terkumpul mulai 2021. Hutang juga cuba dikurangkan antara 2008 hingga 2013 tetapi meningkat semula antara 2014 hingga 2018.

Kemajuan inilah yang mendorong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pentadbiran Selangor sekarang dipertahankan kerana negeri ini berupaya melonjakkan ekonomi negara.

Seruan itu disambut baik penduduk dalam tinjauan Selangorkini pada 7 Julai:

“Saya setuju dengan (pandangan) Datuk Seri Anwar. (Jangan) ada kepentingan sendiri. Yang merosakkan (disebabkan) ada kepentingan. Fikir tentang rakyat dan kesenangan rakyat.”

Yahaya Ahmad, 61, pesara swasta

“Betul, Selangor ini negeri kaya. Jadi contohlah (sebagai) pusat ekonomi berbanding dengan negeri lain. Selangor ini hebatlah. Kita pertahankan sebab Selangor banyak buat program-program daripada hasil negeri. Apabila (hasil) meningkat dengan baik (termasuk) duit negeri, rizab, lagi banyak (bantuan) turun kepada rakyat. Kalau kita dapat pertahankan, apa yang kita nak buat (seperti) kebajikan rakyat boleh dilaksanakan dengan baik. Kita kena pertahankan.”

Nik Pa Nik Leh, 70, pesara Petronas

“Rajin, itu saya boleh kata. Semua ADUN kita di Selangor rajin. Saya tengok YB Kajang, Balakong semua rajin dan suka tengok rakyat. Tak payah kata ADUN saja, parlimen pun sama. Kalau ada masalah, kita pergi saja pejabat mereka, mereka boleh tolong.”

Joy Wong, 63, sukarelawan


Pengarang :