Sebahagian aksi Selangor FC yang menumpaskan Sabah FC 1-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya pada 23 Julai 2023. Foto Facebook Selangor FC
AGENDASUKANKINI

Liga Super: Selangor FC tewaskan Sabah FC 1-0, bertemu JDT Sabtu ini

KUALA LUMPUR, 24 JULAI: Selangor FC terus mengukuhkan kedudukan untuk mencabar kejuaraan Liga Super musim ini selepas berjaya membalas dendam terhadap Sabah FC dengan kemenangan 1-0 pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad Gergasi Merah bimbingan Tan Cheng Hoe mengumpul 40 mata dan dibezakan sembilan mata dengan pendahulu yang juga penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) sementara enam mata di atas pasukan di posisi ketiga, Kedah Darul Aman FC.

Pada pertembungan malam ini, penyerang import dari Colombia, Ayron Del Valle Rodriguez muncul wira Selangor selepas menjaringkan gol tunggal perlawanan pada separuh masa pertama untuk menghadiahkan kemenangan ke-13 pasukan musim ini.

Selangor yang lebih mendominasi permainan tidak bernasib baik untuk mendahului seawal minit ketujuh selepas pemain pertahanan Dominic Tan hampir menjaringkan gol sendiri apabila tandukannya ketika cuba mengeluarkan bola sedikit tersasar tatkala penjaga gol Damien Lim sudah tertewas.

Asakan bertali arus dilancarkan pasukan tuan rumah akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-23 selepas Rodriguez yang menerima hantaran Richmond Boakye, melepaskan rembatan kencang kaki kanan yang menyaksikan bola terkena palang sebelum menerjah jaring.

Hasrat Rodriguez untuk meledak jaringan peribadi keduanya tidak kesampaian apabila Dominic berjaya menanduk keluar bola di atas garisan gol percubaan dari luar kotak penalti beliau pada minit ke-44, apabila Damien berada jauh dari gawang ketika cuba menghalang gerakan serangan Selangor.

Sebahagian aksi Selangor FC yang menumpaskan Sabah FC 1-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya pada 23 Julai 2023. Foto Facebook Selangor FC

Pada separuh masa kedua, skuad Sang Badak bangkit memperkemas permainan dalam usaha memburu gol penyamaan dan gawang Selangor cemas seketika selepas percubaan pemain tengah Kwang Min Ko dari luar kotak penalti menggegar palang pada minit ke-51.

Bagaimanapun, palang menjadi penyelamat Sabah apabila menafikan peluang jaringan Selangor sebanyak empat kali dalam tempoh 20 minit terakhir perlawanan bermula dengan tandukan pemain pertahanan Muhammad Safuwan Baharudin yang menyambut hantaran sepakan percuma pada minit ke-72.

Boakye dan pemain gantian Yazan Al-Arab turut menyaksikan percubaan masing-masing secara berturut-turut dari jarak dekat terkena palang pada minit ke-84 sebelum Muhammad Safuwan sekali lagi gagal menanduk tepat bola sepakan percuma Mohamad Faisal Abdul Halim pada minit ke-88.

Kejayaan ini menyaksikan Selangor berjaya melunaskan dendam kekalahan 1-2 di tangan Sabah pada pertemuan Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu, April lepas, selain menamatkan rentak cemerlang anak buah Datuk Ong Kim Swee yang meraih tiga mata dalam tiga aksi terakhir sebelum ini.

Selangor akan membuat perhitungan menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor Sabtu ini manakala Sabah akan bertemu Penang FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Ahad.

– BERNAMA


Pengarang :