Anggota LUAS bersama agensi berkaitan menjalankan pemeriksaan keselamatan di Empangan Sungai Tinggi dan Projek Takungan Air Pinggiran Sungai, Sungai Labu bagi memastikan struktur empangan negeri dalam keadaan baik pada 3 Julai 2023. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor
AGENDANASIONAL

LUAS periksa keselamatan empangan, pastikan dalam keadaan baik

OLEH FHATIHAH ZAKINAN

SHAH ALAM, 4 JULAI: Empangan Sungai Tinggi dan Projek Takungan Air Pinggiran Sungai, Sungai Labu diperiksa semalam bagi memastikan kedua-dua struktur berkenaan dalam keadaan baik.

Pemeriksaan keselamatan dibuat Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bersama Seksyen Pemantauan Keselamatan Infrastruktur Air, Bahagian Bekalan Air bawah Kementerian Sumber Asli.

Menurut Facebook LUAS, pemeriksaan meliputi struktur, hidrologi, instrumentasi, dokumentasi, geologi dan kawasan keliling takungan dan keselamatan mekanikal serta elektrikal empangan.

“Melalui pemeriksaan keselamatan ini, ia dapat membantu proses penambahbaikan keadaan dan struktur empangan bagi memastikannya berada dalam keadaan baik,” kata agensi itu.

Menurut agensi yang menguruskan sumber air negeri itu, Jabatan Pengairan dan Saliran dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) turut serta dalam pemeriksaan tersebut.

LUAS mewartakan 20 kolam meliputi tasik, bekas lombong dan tujuh empangan di negeri ini sebagai zon perlindungan mengikut Seksyen 48, Enakmen Luas 1999.

Kolam dan empangan yang digazet perlu dipelihara serta dipulihara daripada sebarang gangguan supaya bagi menjamin kualiti dan kuantiti sumber air tambahan di Selangor.

 


Pengarang :