Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Mualaf Majlus Agama Islam Selangor (Mais) Prof Madya Dato’ Dr Mohd Farid Ravi Abdullah bergambar bersama wakil 25 Pusat Pengurusan Pengislaman (PPP) Mais pada Majlis Apresiasi PPP Mais pada 23 Julai 2023. Foto Facebook Majlis Agama Islam Selangor
AGENSISELANGOR

Mais sumbang RM88,400 kepada 25 pusat pengurusan pengislaman, bantu ringankan beban

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 25 JULAI: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyerahkan sumbangan RM88,400 kepada 25 Pusat Pengurusan Pengislaman (PPP) dalam Majlis Apresiasi PPP Mais Ahad lalu.

Agensi itu memaklumkan sumbangan menggunakan peruntukan Lembaga Zakat Selangor (LZS) itu bertujuan meringankan beban kewangan PPP Mais selain sebagai galakan kerana berjaya menguruskan proses pengislaman dengan sempurna tahun lalu.

“Sumbangan ini juga sebagai penghargaan kepada PPP Mais dalam membantu gerak kerja pengurusan pengislaman di negeri Selangor amnya,” kata agensi itu menerusi Facebook.

Sumbangan disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Mualaf Mais, Prof Madya Dato’ Dr Mohd Farid Ravi Abdullah.

Antara penerima ialah Masjid Al-Falah USJ 9, Subang Jaya; Masjid Al Azim, Pandan Indah Hulu Langat; Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Selangor dan Hidayah Centre Foundation (HCF).

Turut diadakan slot motivasi bertajuk ‘Dakwah Mualaf : Kerja Berintegriti vs Santai Kedai Kopi’ yang disampaikan Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Mualaf Mais Dr Johari Abdullah @ Yap Guan Kheng.

Sementara itu Dr Mohd Farid Ravi dalam ucapannya merakam penghargaan kepada PPP Mais yang telah melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan dalam membantu Mais menguruskan proses pengislaman dengan lancar serta mengikut prosedur ditetapkan.

“PPP Mais bukan hanya sekadar menguruskan proses pengislaman mualaf semata-mata, malah perlu memainkan peranan membantu Mais dan LZS dalam proses penjagaan, perlindungan serta pengajaran kepada mereka,” katanya.


Pengarang :