Tokoh Ulama Pattani Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni menyampaikan kuliah duha pada Majlis Talaqqi Kitab Turath Islami di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Shah Alam pada 5 Julai 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Majlis turath kupas sikap duniawi orang berilmu, lupa kepada Allah

SHAH ALAM, 5 JULAI: Majlis Talaqqi Kitab Turath Islami memasuki hari ketiga hari ini dengan alunan zikir dan bacaan surah Yasin, yang dihadiri sekitar 100 peserta di Masjid Negeri di sini.

Program turut disertai Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Amal Wanita Selangor Datin Seri Masdiana Muhammad dan penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua Edry Faizal Eddy Yusof.

Disusuli kuliah duha, majlis pimpinan tokoh ulama Pattani Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni menghuraikan manusia perlu mematuhi ajaran Allah selain tidak bermegah dengan ilmu dimiliki.

“Ada segelintir manusia ada banyak ilmu, miliki pangkat yang besar tetapi mereka salah guna dan lupa diri untuk beramal ke jalan Allah, malah cintanya kuat terhadap dunia.

Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) Datin Seri Masdiana Muhammad menghadiri Majlis Talaqqi Kitab Turath Islami di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Shah Alam pada 5 Julai 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Perkara ini amat ditegah dalam Islam kerana semua yang dimilikinya itu hanya sementara. Inilah yang dikatakan penyakit ilmu di mana ada kelebihan dan bahayanya,” katanya.

Pada 3 Julai, Baba membuka tirai majlis berkenaan di masjid sama dengan menyampaikan kuliah duha dan Maghrib, sebagai kesinambungan Festival Turath Islami Selangor yang dianjurkan 20 Mei lalu.

Festival itu dianjur sempena penterjemahan 10 jilid Ihya Ulumuddin kepada bahasa Melayu mulai awal tahun ini yang digerakkan Kerajaan Negeri melalui Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE).

Ia bertujuan menyemarak lagi minat umat Islam terhadap pemikiran al-Ghazali, ilmuan Islam pelbagai bidang yang berpengaruh ke serata dunia.


Pengarang :