Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika sesi pendengaran awam bersama rakyat anjuran Sinar Harian di Kumpulan Media Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam pada 24 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Majoriti rakyat percaya HARAPAN pada landasan tepat majukan Selangor

SHAH ALAM, 25 JULAI: Majoriti rakyat Selangor percaya dengan keupayaan Pakatan Harapan (HARAPAN) memacu kemajuan negeri sejak gabungan itu mengambil alih pentadbiran pada 2008.

Dato’ Menteri Besar berkata pelbagai kejayaan dicapai sepanjang tempoh berkenaan seperti sumbangan tertinggi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pengenalan Rancangan Selangor (RS-1).

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, pentadbiran ini juga mampu mengekalkan kestabilan negeri meski berdepan cabaran pandemik Covid-19 pada 2020 dan banjir besar pada akhir 2021.

“Saya tidak mahu sebut kedudukan saya tetapi yang penting saya tengok tahap kepercayaan orang kepada Kerajaan Negeri. Saya percaya 71 peratus (rakyat) anggap kita berada di landasan betul.

“Selebihnya anggap salah atau mungkin tidak pasti (dengan keupayaan negeri). Jadi yang 71 peratus itu mereka selayaknya mengundi kita (pada pilihan raya negeri).

“Saya percaya dengan kekuatan dan sumbangan dilakukan di peringkat negeri, majoriti rakyat berada dalam tahap keyakinan (dengan pentadbiran sedia ada),” katanya.

Bercakap dalam sesi pendengaran awam di sini malam tadi, beliau juga yakin hubungan erat Kerajaan Negeri dan kerajaan persekutuan mampu mengukuhkan lagi kedudukan negeri.

“Sebab itu saya lihat hubungan baik ini peluang perkukuhkan lagi keadaan kita, sekali gus mudah untuk majukan negeri selain capai cita-cita RS-1 dan sumbang 30 peratus kepada KDNK,” katanya.


Pengarang :