Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab soalan ketika sesi pendengaran awam bersama rakyat anjuran Sinar Harian di Kumpulan Media Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam pada 24 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB tegas bawa isu kebajikan pekerja e-panggilan ke Parlimen

SHAH ALAM, 25 JULAI: Isu kebajikan pekerja ekonomi sampingan meliputi e-panggilan dan p-panggilan akan dibangkitkan ahli parlimen Gombak dalam sesi Dewan Rakyat akan datang.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan terdapat keperluan mengubah undang-undang untuk membenarkan mereka yang terlibat dalam sektor berkenaan menubuhkan kesatuan sendiri.

“Jika ikut peraturan (sekarang) tidak boleh buat kesatuan tetapi saya rasa itu bukan alasan untuk kekalkan undang-undang sedia ada.

“Saya akan tegaskan di Parlimen untuk kita ubah undang-undang membenarkan pekerja ini buat kesatuan supaya mudah mereka tuntut dan mudah kita berhubungan,” katanya yang juga Dato’ Menteri Besar.

Beliau berkata demikian dalam sesi dialog awam rakyat di Kumpulan Media Karangkraf, Seksyen 15, di sini malam tadi, yang dihadiri kira-kira 100 peserta.

Amirudin menegaskan tiada kompromi berhubung soal kebajikan pekerja yang terlibat dalam ekosistem ekonomi sampingan berikutan mereka juga penyumbang kepada pembangunan negeri.

“Hal ini juga akan saya cuba selesaikan bersekali ketika Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bertemu dengan pengendali p-panggilan nanti,” katanya.

Mengulas kebajikan pekerja sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) khususnya bidang pembersihan awam, beliau berkata terdapat keperluan untuk melihat semula Akta Kerja 1955 berkait bidang itu.

“Ini bagi memberi jaminan kepada pengutip sampah atau mereka yang bekerja dalam sektor ini (mendapat pendapatan setimpal). Saya rasa perlu ditekankan seperti dulu apabila kerajaan Persekutuan pernah tetapkan gaji minimum untuk pengawal keselamatan,” katanya.

 


Pengarang :