Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika mengadakan lawatan rasmi dan menyampaikan amanat khas di pejabat Media Selangor Sdn Bhd di Shah Alam pada 10 Julai 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Media Selangor ditubuh bagi perangi persepsi, serangan politik jahat

SHAH ALAM, 10 JULAI: Media Selangor Sdn Bhd (MSSB) ditubuhkan lebih sedekad lalu bagi memerangi persepsi terhadap Kerajaan Negeri yang dilontar pelbagai agensi media ketika itu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pentadbiran Selangor sering ‘menjadi perhatian’ ketika itu berikutan kejayaan Pakatan Harapan (HARAPAN) menawan Selangor pada 2008.

“Pada tahun itu, kita bertarung dengan persepsi adakah mampu bertahan untuk satu penggal. Kita bertarung dengan media-media luar yang kebanyakannya tidak berpihak kepada pembangkang.

“Pada ketika itu, kita fikir perlu merangka berita sendiri dan berdiri atas kaki sendiri. Kita tidak boleh harapkan agensi lain untuk sampaikan maklumat,” katanya di sini.

Beliau menyampaikan amanat khas sempena lawatan rasmi ke pejabat MSBB hari ini, yang turut disertai Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kiri) melawat studio di pejabat Media Selangor Sdn Bhd di Shah Alam pada 10 Julai 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Norita Mohd Sidek dan Ketua Pegawai Eksekutif MSSB Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree.

Amirudin menambah peranan Media Selangor sebagai lidah rasmi juga membantu pentadbiran negeri yang sering menjadi mangsa serangan politik jahat pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau menjelaskan fungsi agensi berkenaan kian meluas terutama ketika perkembangan pesat teknologi maklumat yang mengetengahkan media sosial sebagai perantara diri manusia.

“Dahulu, serangan kepada Kerajaan Negeri begitu besar dan usaha untuk memburukkan kita tiada taranya berbanding sekarang.

“Pada ketika itu juga tiada lambakan media seperti sekarang. Pada hari ini sudah ada media sosial dan kita juga perlu mendepani arus media sosial,” katanya.

MSSB, yang juga anak syarikat MBI ditubuhkan pada 18 Februari 2009 untuk mewujudkan sistem komunikasi berkesan antara kerajaan dan rakyat dalam menyebar luas mesej serta dasar pentadbiran.


Pengarang :