Peniaga ayam sedang menyiapkan tempahan pelanggan ketika tinjauan Media Selangor Program jualan ayam murah di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan pada 12 Februari 2022. Kerajaan Negeri Selangor melaksanakan penjualan ayam murah melalui Program Intervensi Harga Makanan Ehsan. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Menteri tolak ’tilikan’ harga barang naik Ogos, kadar inflasi trend turun

SHAH ALAM, 10 JULAI: Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang juga pengarah komunikasi Pakatan Harapan (HARAPAN) Fahmi Fadzil mempertikai beberapa laporan media tempatan semalam yang menyatakan harga barangan pengguna dijangka meningkat bermula Ogos ini.

Menteri Komunikasi dan Digital itu berkata ini kerana kadar inflasi negara setakat ini menunjukkan trend penurunan selain beberapa petunjuk ekonomi pada 2023 adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

“Saya lihat laporan dalam beberapa media hari ini bahawa dalam bulan Ogos ini, harga barang naik 20 peratus. Macam mana dia tilik, dia rujuk, Nujum Pak Belalang ke dia ini, bulan Ogos harga akan naik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Bilik Gerakan Utama dan Jentera Pilihan Raya PKR bagi Dewan Undangan Negeri Batu Tiga di sini malam tadi.

Fahmi sebaliknya menjelaskan bahawa hasil usaha dan ikhtiar Kerajaan Perpaduan telah berjaya menurunkan kadar inflasi yang dikaitkan dengan kenaikan harga barang daripada 3.3 peratus pada April kepada 2.8 peratus pada Mei.

“Kedua, suku pertama tahun ini menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang sangat rancak iaitu 5.6 peratus dan kadar ini adalah lebih rancak dari China, Singapura dan Indonesia,” katanya.

Fahmi berkata dalam tempoh tiga bulan pertama 2023 juga, jumlah pelaburan yang masuk ke dalam negara dianggarkan berjumlah kira-kira RM71 bilion iaitu lebih tinggi berbanding RM44 bilion yang dicatat bagi tempoh sama pada tahun lepas kerana didorong oleh kestabilan politik.

Beliau berkata jumlah pelaburan asing juga dijangka terus meningkat pada masa akan datang termasuk melibatkan pelaburan besar dari kerajaan Arab Saudi.

Katanya justeru, jentera PH dan Barisan Nasional harus bekerja keras untuk menyampaikan kepada rakyat apa yang telah diusahakan serta dicapai oleh kerajaan hari ini dalam membangunkan ekonomi negara.

-BERNAMA

 


Pengarang :