Pegawai dan kakitangan Majlis Perbandaran Klang (MPK) ketika program Sentuhan Kasih KPKT di Dewan Hamzah MPK, Klang pada 26 Julai 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MPK teras pembangunan negeri, tingkat ekonomi, kualiti hidup rakyat

Oleh Fhatihah Zakinan

SHAH ALAM, 28 JULAI: Majlis Perbandaran Klang (MPK) boleh menjadi teras produktiviti di Selangor, yang dipacu secara holistik di peringkat nasional.

Yang Dipertuanya Noraini Roslan berkata dengan pencapaian status Klang menjadi bandar raya ke-20 di Malaysia dan ke-4 di Selangor, MPK juga mampu menjadi penyumbang kepada faktor ekonomi setempat dan meningkatkan kualiti hidup rakyat di negeri ini.

“Saya yakin MPK akan menjadi teras pembangunan dalam memacu produktiviti Selangor secara holistik di peringkat nasional dengan memfokuskan pembangunan era baharu serta dapat menjadi penyumbang kepada faktor ekonomi setempat, peningkatan kualiti hidup rakyat serta daya saing negara,” katanya selepas mesyuarat penuh MPK semalam.

Mengulas lanjut Noraini memaklumkan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM5 juta bagi projek Bahagian Pembangunan 1, susulan pengumuman status pencapaian itu.

“Projek yang terlibat antaranya menaik taraf Pasar Pelabuhan Klang, membina gerai di Jalan Goh Hock Huat selain laluan pejalan kaki dan basikal di Jambatan Kota.

“Ia turut melibatkan kerja membekal dan memasang lampu solar kawasan Seri Kerayong, Taman Kerayong dan membina tandas awam di Pengkalan Batu, Klang,” katanya.

Pada 26 Julai, Menteri KPKT mengumumkan MPK menerima peruntukan khas berjumlah RM34.6 juta sempena kelulusan naik taraf kepada status bandar raya termasuk RM5 juta untuk projek menaik taraf 21 kemudahan awam seperti pasar, tandas awam dan laluan pejalan kaki di Klang.

Nga Kor Ming memaklumkan kerajaan persekutuan meluluskan cadangan naik taraf MPK kepada status bandar raya dan keputusan dicapai pada mesyuarat Kabinet, sekali gus menjadikan MPK pihak berkuasa tempatan (PBT) ke-20 meraih status bandar raya di negara ini.

Majlis pemasyhuran Klang sebagai bandar raya akan diumumkan sebaik mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.


Pengarang :