Oleh FHATIHAH ZAKINAN
AMPANG JAYA, 6 JULAI: Seramai 49 penyewa penempatan sementara Desa Lembah Permai milik Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) berpeluang memiliki kediaman berkenaan apabila Kerajaan Negeri bersetuju menawarnya pada harga asal RM42,000 berbanding pasaran RM160,000 seunit.
EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar berkata inisiatif berkenaan diraih menerusi perbincangan bersama MPAJ bagi memastikan kesemua penyewa kediaman berkeluasan 650 kaki persegi sejak 2008 memiliki kediaman berkenaan dan mengelakkan mereka dari berpindah randah.
“Kerajaan Negeri bersetuju untuk menukarkan rumah (PS) itu kepada pemilikan lain. Jadi, (penduduk) tidak perlu berpindah kerana ada sebahagian daripada mereka sudah menghuni di situ sejak 2008.
“MPAJ juga bertolak ansur, menerima bahawa tidak perlu ambil semula rumah yang diduduk selama ini dan saya selaku EXCO berkaitan mahu pastikan rakyat Selangor ada rumah sendiri, jangan jual,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi taklimat dan penyerahan surat niat penjualan PS Desa Lembah Permai bersama MPAJ dan penduduk yang menyewa di Dewan Pinggiran Jaya, di sini, semalam.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/07/IMG_20230705_152931-500x314.jpg.webp)
Pada majlis sama, Rodziah yang juga Ahli Parlimen Ampang turut menyampaikan surat niat penjualan PS Milik MPAJ kepada 49 penyewa terlibat.
Menurutnya, baki tunggakan unit perumahan itu bagaimanapun perlu diselesaikan secara telus dan bertanggungjawab oleh pemilik baharu menerusi beberapa kaedah yang dikeluarkan MPAJ.
Beliau juga sudah berbincang dengan Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) bagi memudahcara pembayaran ansuran secara berperingkat dalam urusan itu.
Katanya, permohonan untuk mendapatkan pemilikan rumah itu dibuka sehingga hujung tahun ini.