Wakil rakyat Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri ketika meninjau pemasangan lampu solar LED di Jambatan Cendayu Pulau Indah pada 5 Oktober 2020. Foto Facebook Azmizam Zaman Huri
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri belanja lebih RM5 juta pasang 752 lampu LED di 56 DUN

SHAH ALAM, 5 JULAI: Sejumlah RM5.2 juta dibelanjakan Kerajaan Negeri bagi memasang 752 lampu diod pemancar cahaya (LED) di seluruh negeri ini dari tahun lalu.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata jumlah meliputi pemasangan 382 LED bernilai RM2.3 juta pada tahun lalu manakala 370 lampu lagi dipasang setakat ini membabitkan RM2.9 juta.

“Projek fasa dua ini dijangka siap hujung bulan. Anggaran setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) terima antara 10 hingga 13 LED. Lampu dipasang di jalan selain kawasan gelap seperti taman permainan dan kubur.

“Kita mendapat maklum balas yang baik dari pengguna jalan kerana persekitaran lebih terang sekali gus dapat mengelakkan kemalangan dan sebarang kejadian bahaya,” katanya.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim (kiri) meninjau projek pelebaran jalan di Persiaran Mokhtar Dahari, Shah Alam pada 5 Julai 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI

Terdahulu beliau meninjau kerja pelebaran jalan di Persiaran Mokhtar Dahari berhampiran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Puncak Perdana di sini hari ini.

Sebelum ini, Ir Izham memaklumkan pemasangan fasa pertama lampu solar yang bermula November tahun lalu selesai pada Disember melibatkan 31 DUN manakala baki DUN yang belum menerima kemudahan itu dilakukan dalam fasa kedua sejak Mac.

Kontraktor memasang lampu diod pemancar cahaya (LED) berkuasa solar sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib pada 26 Jun 2023. Foto Facebook Hasnul Baharuddin

Menerusi Belanjawan 2023, Dato’ Menteri Besar mengumumkan RM28 juta diperuntukkan bawah inisiatif Projek Selangor Penyayang (PSP) sebagai usaha mempergiat dan merancakkan ekonomi setempat dengan penyediaan projek kecil demi manfaat rakyat setempat.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keutamaan PSP diberikan kepada projek penyelenggaraan dan menaik taraf infrastruktur serta pembangunan kemudahan awam kerajaan termasuk yang tidak mempunyai peruntukan penyelenggaraan tahunan.

Pada persidangan Dewan Negeri Selangor Mac lalu, EXCO Perindustrian Dato’ Teng Chang Khim berkata Kerajaan Negeri akan membekalkan lebih 1,000 lampu LED berkuasa solar di seluruh 56 DUN.


Pengarang :