SHAH ALAM, 28 JULAI: Kerajaan Negeri berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran membina 30,000 unit rumah mampu milik menjelang 2025 melalui insiatif Rumah Idaman.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan sejumlah 2,509 unit selesai diserahkan kepada pembeli manakala bakinya sedang dibina dan dijangka siap dalam tempoh itu.
“Secara keseluruhan di bawah inisiatif Rumah Idaman sebanyak 6,000 unit yang telah dibina atau masih dalam proses pembinaan. Puluhan ribu unit lagi dalam proses kebenaran pembinaan terancang.
“Melalui perkembangan ini negeri yakin dapat capai sasaran menjelang 2025 untuk pembinaan rumah mampu milik antara lebih 20,000 hingga 30,000 unit,” katanya dalam sidang media selepas majlis pecah tanah Rumah Idaman Cahaya di Cahaya Alam, di sini hari ini.
Amirudin turut menyambut baik langkah Kerajaan Perpaduan yang menyediakan skim pinjaman bawah Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) sehingga 120 peratus untuk membantu rakyat memiliki rumah pertama.
“Negeri sangat gembira dengan pengumuman dibuat perdana menteri semalam bahawa untuk rumah di Lembah Klang selepas ini pinjaman ditingkatkan hingga 120 peratus.
“Perumahan Idaman berada dalam kelompok ini, ini akan membantu negeri selesaikan masalah rakyat yang ingin memiliki rumah tetapi kekangan kewangan,” katanya yang turut menambah hampir 60 peratus rakyat menolak tawaran kerana berdepan masalah pinjaman berdasarkan data dari Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.
Semalam, Kerajaan Perpaduan mengumumkan jaminan pembiayaan sehingga 120 peratus di bawah SJKP dari harga rumah bernilai sehingga RM300,000.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata inisiatif berkenaan membolehkan semua kos pemilikan rumah ditampung melalui pinjaman berkenaan.