EXCO Perumahan Rodziah Ismail (tiga, kanan) menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Rumah Selangorku Pangsapuri Harmoni TWL Subang Jaya USJ1, Subang Jaya pada 27 Julai 2023. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Negeri komited capai sasaran bina 60,000 rumah mampu milik pada 2025

OLEH NAS NORZIELA NASBAH

SUBANG JAYA, 27 JULAI: Sebanyak 53,514 unit Rumah Selangorku ditawarkan kepada orang awam setakat ini melalui Sistem Penawaran Hartanah Negeri Selangor secara dalam talian.

EXCO Perumahan Rodziah Ismail memaklumkan sejumlah 34,288 unit selesai diserahkan kepada pembeli manakala baki sedang dalam pembinaan dan dijangka siap menjelang 2025.

Beliau menjelaskan projek tersebut bagi memenuhi komitmen pentadbiran negeri membangunkan 60,000 unit rumah mampu milik selaras Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

“Setiap unit yang disiapkan bermakna satu keluarga di Selangor kini memiliki kediaman mereka sendiri dan tidak perlu lagi menyewa rumah di pasaran bebas,” katanya.

Beliau bercakap pada majlis pecah tanah Rumah Selangorku Pangsapuri Harmoni TWL Subang Jaya, yang turut dihadiri Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor Dato’ Dr Juhari Ahmad.

Hadir sama Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya Mohd Zulkarnain Che Ali dan Pengerusi Eksekutif TWL Holding Berhad Dato’ William Tan Way Lian.

Rodziah menambah sebanyak 227,784 unit rumah melibatkan 407 projek diluluskan Kerajaan Negeri untuk rakyat berpendapatan rendah dan sederhana sejak 2014.

“Saya percaya dengan kemasukan unit ini ke pasaran, ia akan melegakan golongan yang memerlukan terutama berpendapatan rendah (B40) dan menengah (M40) menjelang 2025,” katanya lagi.

 


Pengarang :