OLEH FHATIHAH ZAKINAN
GOMBAK, 23 JULAI: Pasukan Tot United A dinobat juara dalam Kejohanan Futsal Amatur Piala Dato’ Seri Amirudin Shari anjuran Kelab Sukan Kebajikan dan Rekreasi Negeri Selangor yang berlangsung di KSL Sport Futsal, Batu Caves hari ini.
Penganjurnya Krishnan Athimoolam berkata kemenangan itu melayakkan pasukan berkenaan membawa pulang wang tunai RM2,500 dan pingat.
“Pasukan Hyper Rich dinobat naib juara membawa pulang wang tunai RM2,000 dan pingat, tempat ketiga, SMM 5 Star (RM1,500 dan pingat) serta tempat keempat oleh 5KFT (RM1,000 dan pingat),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penutup kejohanan dengan kerjasama Jawatankuasa Penduduk (JKP), zon 7 Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
Tambah Krishnan, program dianjurkan bagi menyatukan belia di daerah Gombak selain melahirkan penggerak belia aktif.
“Program ini juga mampu menarik belia untuk menyertai kelab pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti kami untuk memberi sokongan kepada kepentingan sukan dan kemahiran lain.
“Saya berharap belia terutama remaja India di kawasan Gombak yang menganjurkan temasya sukan seperti ini terus diberi perhatian oleh kerajaan negeri,” katanya.
Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan penutupan program berkenaan. Hadir sama, Ketua Pemuda MIC Selangor, Sundaram Kuppusamy; Ketua Bahagian MIC Gombak, K Gobiraj dan rakan HARAPAN.