Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali pada perasmian Majlis Peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di sini pada 27 Julai 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pelan Ekonomi Madani bukti kerajaan tekad pastikan rakyat nikmati hidup berkualiti

GOMBAK, 28 JULAI: Pelan Ekonomi Madani dilancar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan tekad kerajaan perpaduan untuk mengangkat semula ekonomi negara biarpun baru mentadbir lapan bulan.

Pengerusi Pakatan Harapan Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelan yang menyediakan tujuk pasak bagi memastikan rakyat menikmati kehidupan yang lebih berkualiti terbentuk hasil permuafakatan dalam kerajaan perpaduan.

Pengerusi Pakatan Harapan Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan ucapan di Jelajah Malaysia Madani DUN Rawang pada 27 Julai 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI

“Sewaktu Azmin jadi menteri ekonomi, Muhyiddin pula menteri dalam negeri dan perdana menterinya, atuk (Mahathir) berapa lama diperlukan untuk cipta Gagasan Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama? 15 bulan memerintah baru nak buat selepas itu mereka sendiri langgar dan jatuhkan kerajaan.

“Alhamdulillah, ini permuafakatan dan kelompok baharu tetapi cipta keserasian dalam pentadbiran lapan bulan. Kita sediakan tujuh pasak untuk angkat Malaysia menjadi negeri terbaik dan antara 30 pemain utama ekonomi dunia sekali gus meningkatkan pendapatan, memartabat serta membawa pendidikan tinggi kepada rakyat.

“Bukan itu sahaja, menteri juga berjaya selamatkan kedaulatan negara daripada tuntutan Sulu. Ini hasil kerja kerajaan perpaduan menjaga rakyat dan kedaulatan negara,” ucapnya pada program Jelajah Malaysia Madani DUN Rawang di sini malam tadi.

Sebahagian daripada orang ramai yang hadir di Jelajah Malaysia Madani DUN Rawang pada 27 Julai 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI

Semalam, Anwar melancarkan pelan Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat bagi mengangkat semula ekonomi negara bagi membolehkan rakyat menikmati kehidupan lebih berkualiti.

Menerusi pelan itu beliau mengumumkan penawaran kredit e-tunai sebanyak RM100 kepada semua rakyat dewasa berpendapatan RM100,000 setahun serta bantuan RM300 kepada penjawat awam gred 56 ke bawah.

Jelasnya, bantuan RM200 turut diberikan kepada sejuta pesara kerajaan termasuk yang berpencen, penerima pencen terbitan dan pesara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Anwar menjelaskan pesara bersara pilihan dan belum menerima pencen, veteran berpencen serta veteran tidak berpencen juga bakal menerima manfaat sama.


Pengarang :