Penyandang kerusi DUN Balakong Wong Siew Kii (kanan) melawat kilang yang menyertai program Pelancongan Perindustrian. Foto Facebook Wong Siew Kii
ADNSELANGOR

Pelancongan industri Balakong tarik minat kilang, restoran, promosi produk tempatan

SHAH ALAM, 10 JULAI: Program pelancongan perindustrian Balakong yang dilancar Jun tahun lalu menarik minat pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) daripada pelbagai jenis perniagaan di kawasan itu.

Penyandang kerusinya Wong Siew Kii memaklumkan enam kilang dan sebuah restoran mengambil bahagian dalam inisiatif itu setakat ini, dengan perusahaan mereka dihebah kepada orang awam melalui penghasilan video.

“Pada awalnya program ini disertai tiga kilang sahaja, namun dalam tempoh beberapa bulan tiga kilang lagi termasuk sebuah restoran menyokong usaha ini sebelum mengambil bahagian.

“Melihat sambutan baik, kami kini sedang membuat persediaan untuk penyertaan kilang bagi fasa ketiga,” katanya ketika dihubungi.

Kilang terlibat merangkumi kilang coklat Benns Ethicoa, kuih bulan Yu Ai Food Industries Sdn Bhd, cendawan susu harimau Ligno Biotech dan Le Gardenz, kicap Mu Artisan, soya So Young, keluli tahan karat Ni Hsin dan restoran Tea X Hub.

Siew Kii menjelaskan perancangan mempromosi sektor itu dicetuskan selepas lawatan sambil belajar ke tujuh kilang sekitar kawasan terbabit pada November 2019 sebelum proses pengumpulan data dan analisa dibuat selama setahun.

“Setelah analisa dan induksi dibuat, kami menetapkan butiran dan perancangan berkenaan pelancongan perindustrian sebelum memulakan persediaan bagi menjalankan program serta promosi,” katanya.

Pada 12 Mac lalu, DUN Balakong menganjurkan Fiesta Seni, Budaya dan Industri (BICA Fiesta) yang berjaya menghimpunkan 10 kilang bagi mempromosi produk buatan masing-masing.


Pengarang :