SHAH ALAM, 23 JULAI: Pembukaan Pusat Prasekolah Anak Istimewa Selangor (ANIS) di kawasan luar bandar kini dalam proses jaringan bersama beberapa pihak dan pengumpulan data.
Pengurus Besar Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS), Gan Pei Nei berkata antara yang terlibat termasuk pihak berkuasa tempatan, agensi persekutuan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Penelitian perlu dilakukan terlebih dahulu termasuk keperluannya supaya pembinaan pusat ANIS ini bermanfaat untuk lebih ramai individu.
“Kita juga mengumpul data dengan kerjasama daripada Jabatan Pendidikan dan Kesihatan Selangor,” katanya ditemui pada majlis Graduasi Pusat ANIS di Perpustakaan Raja Tun Uda (PPAS) di sini, hari ini.
Mengulas mengenai bantuan khas ANIS, beliau memaklumkan lebih 1,000 permohonan diterima sejak ia dibuka bermula Mac lalu.
“Setiap tahun kita memang terima lebih 1,000 permohonan tetapi yang layak hanya sebahagiannya sahaja. Setakat ini, permohonan sedang disemak dan ada juga telah diluluskan.
“Kita berharap peruntukan untuk bantuan ini dapat ditambah sedikit kerana ada permohonan yang menepati syarat tetapi tidak dapat diluluskan berikutan kuota penuh,” katanya.
Awal tahun ini, Dato’ Menteri Besar memaklumkan pusat ANIS bakal dibina ke kawasan luar bandar antaranya Rawang, Kuala Selangor dan Kuala Langat.
Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, inisiatif khas tanpa bayaran yuran itu bertujuan menjadikan Selangor sebagai negeri yang mesra dan sejahtera untuk didiami semua lapisan masyarakat.