AGENDAJENAYAH

Penceramah bebas didakwa buat hantaran jelik terhadap Agong

IPOH, 11 JULAI: Seorang penceramah bebas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan membuat hantaran jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong, menerusi aplikasi WhatsApp, November lepas.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Ab Malik Hussain, 62, didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain dalam kumpulan WhatsApp “Soal Jawab Tasawuf-(Sufi)”.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira 8.20 malam dan 8.23 malam, 22 Nov lepas di Batu 10, Kampung Pulau Padang Bota Kiri, dalam daerah Perak Tengah, dan telah dibaca pada kira-kira 8.30 malam pada hari yang sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan, didakwa di bawah Seksyen 223(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, Ab Malik berdepan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya untuk setiap pertuduhan dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Timbalan Pendakwa Raya Saiful Ahmad Mod Said menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun peguam Mohamad Khazali Yin dalam rayuannya memohon jaminan minimum RM3,000 bagi setiap pertuduhan memandangkan anak guamnya perlu menyara seorang isteri berusia 58 tahun yang tidak bekerja, serta dua anak masing-masing berusia 13 dan 10 tahun.

Mohamad Khazali juga memaklumkan tertuduh hanya mendapat RM200 untuk setiap ceramah dengan anggaran tawaran empat ke lima kali sebulan.

Hakim Azizah Ahmad kemudiannya menetapkan ikat jamin RM3,500 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan 14 Ogos ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.

-BERNAMA


Pengarang :