HULU LANGAT, 11 JULAI: Pentadbiran berintegriti yang diamalkan Kerajaan Selangor membolehkan rakyat negeri itu menikmati pelbagai kemajuan dan kemudahan, selain kebajikan terus dibela.
Mengambil contoh pelaksanaan Projek Turapan Mega dengan dana RM50 juta bermula Mei lalu, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming memuji usaha berkenaan untuk keselesaan rakyat.
Beliau turut berbangga rekod cemerlang Selangor meningkatkan rizab sehingga 10 kali ganda, selain menyumbang 25.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara tahun lalu.
“Ini adalah rekod cemerlang dan pencapaian membanggakan kerana kerajaan berintegriti dan tiada ketirisan (membolehkan) rakyat mendapat pelbagai imbuhan.
“Maka, sangat penting pada 12 Ogos ini (pilihan raya negeri) untuk rakyat berdiri teguh dengan Kerajaan Negeri hari ini bagi menyambung dasar mesra rakyat,” katanya dalam sidang media di sini.
Kerajaan Selangor menyediakan peruntukan RM600 juta setahun untuk menjayakan Iltizam Selangor Penyayang (ISP) bagi memastikan kebajikan rakyat terbela menerusi lebih 40 pakej bantuan.
Program itu memanfaatkan kanak-kanak, wanita, pelajar, orang kurang upaya, petani dan peniaga kecil dalam pelbagai bidang termasuk kesihatan, pendidikan, perumahan dan keusahawanan.