Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berjumpa penyokong selepas pengumuman calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua di luar Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu, Gombak pada 29 Julai 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pentadbiran HARAPAN terbukti ampuh ketika berdepan Covid-19, bah besar

GOMBAK, 29 JULAI: Pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor terbukti ampuh ketika berdepan beberapa insiden luar jangka seperti pandemik Covid-19 dan bah besar.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kejayaan itu bukti nyata pentadbiran negeri sedia ada mampu mengharungi ujian getir dan terus membela rakyat.

“Untuk kempen dua minggu ini sebenarnya kita hanya meneruskan kesinambungan dengan pencapaian yang digembeleng sebelum ini. Kita berdepan ujian Covid-19, pandemik, banjir dan masalah ekonomi.

“Kita berjaya tanganinya. Ini semua bukti nyata bahawa kita bukan buat tawaran kosong semata, tapi semua bukti nyata,” katanya yang juga pengerusi HARAPAN Selangor.

Bercakap selepas penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu di sini, Amirudin tidak menolak sebahagian calon dari Perikatan Nasional pernah bersama membangunkan Selangor.

“Tetapi mereka ini tidak terlibat ketika diuji banjir besar dan Covid-19. Rakyat secara jelas nampak bagaimana kepimpinan dalam tempoh lima tahun ini maju dan membangun,” katanya.

Calon nombor tiga dalam kertas undi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua berdepan dua lagi pencabar Muhammad Hanif Jamaluddin (Perikatan Nasional) dan Suman Gopal (Bebas).


Pengarang :