EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni berucap dalam pertemuan dengan Gabungan Sekolah Islam Selangor (Gasis) berhubung isu pendaftaran sekolah agama persendirian di Bangunan SSAAS, Shah Alam pada 27 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Perkemas tadbir urus, garis panduan sekolah agama persendirian dirangka

SHAH ALAM, 1 JUL: Garis panduan berkaitan sekolah agama persendirian dirangka bagi memastikan operasi institusi itu teratur, ditadbir urus dengan baik selain menjamin aspek keselamatan pelajar.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata ketika ini terdapat 171 sekolah agama persendirian beroperasi di Selangor.

“Kebanyakannya hadapi masalah pendaftaran kerana beberapa isu teknikal berkaitan pengezonan kawasan, tukar syarat dan sebagainya.

“Sekarang ini kita sedang merangka satu garis panduan supaya sekolah-sekolah ini dapat beroperasi di tempat yang betul dengan tadbir urus yang baik supaya anak-anak kita boleh belajar dengan lebih baik dan sempurna,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi wawancara Selamat Pagi Malaysia edisi khas yang bersiaran langsung dari Teratak Shah Bonda, Tanjung Sepat, hari ini.

Mohd Zawawi berkata Selangor ketika memiliki rakyat yang ramai iaitu 6.8 juta dan permintaan untuk sekolah agama sangat tinggi.

“Kerajaan sentiasa prihatin dan peduli dengan keadan ini namun tidak semua sekolah agama ini mampu dikendalikan oleh kerajaan.

“Kebanyakan isu yang ditimbulkan di media sosial (berkaitan sekolah agama persendirian baru-baru ini) adalah salah faham atau cerita yang ditokok tambah serta bukan daripada sumber yang betul.

“Saya harap mereka yang menulis di media sosial pastikan benar baru sebar, elakkan dari menjadi salah seorang penyebar fitnah atau berita palsu kerana akan timbulkan keresahan dan rasa tidak selesa dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Sebelum ini Mohd Zawawi berkata garis panduan khas sekolah agama persendirian di negeri ini akan dirangka bagi memudahkan pusat pendidikan itu beroperasi tanpa mengabai aspek keselamatan pelajar.

Menjelaskan Selangor negeri pertama berbuat demikian, katanya panduan berkenaan tidak sama dengan syarat kelulusan pusat tahfiz.


Pengarang :